
James Wong percaya pemain tempatan mampu membuktikan kebolehan dan mencapai kejayaan besar jika diberi peluang.
Beliau mengimbau skuad kebangsaan ketika zaman dia beraksi terdiri daripada pemain tempatan yang menjadi penyerang, pemain tengah, pertahanan dan penjaga gol terkemuka.
Wong, yang mesra dipanggil ‘King James’ oleh peminat tempatan, berkata komposisi skuad kebangsaan semasa berbeza berbanding sebelum ini.
Beliau menyifatkan skuad sedia ada terlalu ‘ala Barat’ dengan pemain import mendominasi kancah bola sepak, terutama dalam perlawanan Liga Super baru-baru ini yang mana mereka kerap diturunkan.
“Pemain tempatan tidak dapat banyak peluang untuk bermain dan sering berada di bangku simpanan,” kata Wong, yang merupakan sebahagian daripada skuad kebangsaan yang layak ke pusingan akhir Olimpik 1980, kepada FMT.
“Bagaimana anda mahu meningkatkan prestasi tanpa masa bermain mencukupi?”
Semalam, jawatankuasa tatatertib Fifa mengumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) didenda 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta) kerana melanggar Artikel 22 kod tatatertib Fifa, yang berkaitan pemalsuan dokumen.
Sementara itu, tujuh pemain didenda 2,000 franc Swiss (RM11,000) setiap seorang, dan digantung selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.
Pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Sebelum itu, mereka beraksi dalam perlawanan kelayakan Malaysia menentang Vietnam pada 10 Jun, sempena Piala Asia 2027. Fifa menerima aduan mengenai kelayakan selepas perlawanan.
FAM dilaporkan akan merayu keputusan tersebut.
Wong menyifatkan keputusan Fifa sebagai “dahsyat”, dan menambah kontroversi itu seharusnya memaksa FAM mempertimbangkan semula kebergantungan yang berlebihan pada tenaga asing.
Beliau juga menyatakan amalan pengambilan pemain asing pernah dikritik pada masa lalu.
Wong berkata walaupun pemain warisan boleh mendakwa ibu, bapa, datuk atau nenek mereka dilahirkan di Malaysia, hakikatnya mereka dilahirkan di luar negara.
Beliau mencadangkan Malaysia perlu mengetepikan pemain warisan dan pemain naturalisasi, dan mempertimbangkan kuota tertentu untuk pemain import jika langkah sedemikian membantu membangunkan pemain tempatan.
“Pemain import yang datang dan bermain untuk kita mestilah memiliki kualiti tertentu,” tegasnya.
“Jangan beri kami pemain kurang berbakat tetapi dibayar gaji lumayan. Apa yang akan kita pelajari daripada mereka?”