
Justeru, badan induk bola sepak negara akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) terhadapnya dan tujuh pemain kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Pemangku Presiden FAM, Mohd Yusoff Mahadi, mengesahkan pihaknya menerima keputusan rasmi daripada Fifa berkaitan perkara itu.
“FAM ingin menegaskan pemain terbabit dan FAM sendiri telah bertindak dengan niat baik serta penuh ketelusan sepanjang proses ini.
“FAM telah menguruskan segala dokumentasi serta prosedur berkaitan secara telus mengikut garis panduan ditetapkan. Malah, Fifa sebelum ini meneliti kelayakan pemain berkenaan dan memberikan pengesahan rasmi mereka layak beraksi mewakili Malaysia.
“FAM akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan akan menggunakan semua saluran serta prosedur perundangan yang ada bagi memastikan kepentingan pemain serta pasukan kebangsaan sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan.
Yufoff berkata, pihaknya juga akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan proses dijalankan adalah telus, adil dan berlandaskan semangat kesukanan.
Katanya, perkembangan lanjut mengenai proses rayuan dan langkah susulan FAM akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.
FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan ketika membuat semakan kelayakan dengan Fifa bagi membolehkan tujuh pemain tersebut diturunkan dalam aksi menentang Vietnam pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun lalu.
Perlawanan itu berkesudahan Malaysia membelasah Vietnam 4-0.
Pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Kesalahan itu terbongkar selepas Fifa menerima aduan mengenai kelayakan lima daripada mereka sejurus tamat perlawanan tersebut.
Fifa berkata, jawatankuasa tatatertibnya selepas meneliti bukti mengenakan denda 350,000 francs Swiss (RM1.8 juta) terhadap FAM manakala tujuh pemain terbabit didenda 2,000 francs Swiss (RM10,400) setiap seorang.
Mereka juga digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak berkuat kuasa serta-merta.
Fifa turut merujuk isu kelayakan pemain itu untuk mewakili Malaysia ke Tribunal Bola Sepak Fifa bagi pertimbangan lanjut.