Anwar tempelak pihak pertikai undang Trump ke Sidang Kemuncak Asean

Anwar tempelak pihak pertikai undang Trump ke Sidang Kemuncak Asean

Perdana menteri berkata Malaysia akan menggunakan platform diplomasi itu untuk terus menyuarakan isu Palestin.

Trump Scotland
Sidang Kemuncak Asean ke-47 akan berlangsung di Kuala Lumpur Oktober ini bakal menghimpunkan pemimpin dunia termasuk Donald Trump. (Gambar AP)
SANDAKAN:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menempelak pihak yang mempertikaikan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 di ibu negara bulan depan.

Anwar berkata, Malaysia akan menggunakan platform diplomasi berkenaan untuk terus menyuarakan isu Palestin.

Beliau berkata, Malaysia perlu bijak berunding dan mengekalkan suara yang tegas dalam mempertahankan kebenaran, namun dengan cara berstrategi.

Perdana menteri berkata, walaupun bukan negara besar, Malaysia tetap dihormati dunia kerana pendirian yang konsisten dalam mempertahankan keadilan serta kebebasan bersuara di pentas antarabangsa.

“Malaysia lantang mempertahankan Palestin, tetapi pada masa sama kita gunakan saluran diplomatik. Kita bebas bersuara kerana kita negara merdeka dan bermaruah. Kita juga mesti pandai berkawan.

“Sebab itu kita kena pandai berunding. Suara kita tetap menyatakan yang benar dan hak tetapi dengan cara bijaksana,” katanya pada Majlis Jelajah Wira Madani dan Sambutan Ulang Tahun ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kompleks APMM Zon Maritim Sandakan.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Menteri Dalam Negeri Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pengarah APMM Mohd Rosli Abdullah.

Anwar berkata, sikap segelintir pihak yang menolak hubungan dengan Amerika Syarikat menunjukkan mereka tidak mengambil kira kepentingan ekonomi dan negara, khususnya dalam sektor eksport produk berteknologi tinggi.

“Nilai eksport semikonduktor Malaysia ke Amerika Syarikat sahaja berbilion ringgit. Puluhan ribu rakyat bekerja dalam sektor itu. Kalau kita tolak bulat-bulat, yang rugi rakyat,” katanya.

Katanya, walaupun Malaysia sebuah negara kecil, kemampuan pentadbiran selain dasar luar dan corak diplomasi yang jelas dan terbuka telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang sentiasa dihormati dunia.

Menurutnya, perkara itu jelas terbukti apabila Malaysia menjadi orang tengah dalam konflik serantau, termasuk di sempadan Thailand-Kemboja serta proses peralihan kemerdekaan Timor-Leste.

“Beberapa bulan lepas Presiden Xi Jinping datang, bulan depan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pula datang. Mana ada banyak negara kecil dapat layanan begitu. Ini bukti dunia hormat Malaysia.

“Ketika ada konflik di sempadan Thailand-Kemboja, mereka minta Malaysia jadi orang tengah. Begitu juga Timor-Leste, dulu sebahagian daripada Indonesia, kini merdeka dan insya-Allah Oktober ini akan menjadi anggota Asean ke-11,” katanya.

Anwar berkata, Sidang Kemuncak Asean ke-47 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Oktober ini bakal menghimpunkan pemimpin dunia termasuk dari Amerika Syarikat, China, India, Australia, Kanada, Brazil, Afrika Selatan, Jepun, Korea serta negara anggota Asean.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.