
Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi, berkata tenaga nuklear telah menyingkirkan ‘keberatan dan keraguan tidak berasas’ pada dekad-dekad lalu, dan kini diiktiraf di peringkat global sebagai sumber tenaga selamat dan boleh dipercayai.
“Ia tidak akan menimbulkan sebarang risiko dari segi percambahan atau keselamatan, malah akan memudahkan akses kepada negara membangun.
“Amat penting bahawa dengan pematuhan parameter ini, akses kepada teknologi nuklear untuk semua negara dapat dijamin,” katanya pada perasmian Forum Antarabangsa Minggu Atom Dunia.
Ketua Pengarah Persatuan Nuklear Dunia, Sama Bilbao, mengulangi sentimen itu, sambil menyatakan tenaga nuklear amat diperlukan bagi pembangunan masa depan.
Beliau menekankan ikrar dibuat pada Sidang Kemuncak COP28 oleh 31 negara dan pembiaya global untuk meningkatkan kapasiti nuklear global kepada tiga kali ganda menjelang 2050.
“Tenaga nuklear perlu menjadi (sumber) dan sememangnya komponen penting bagi pertumbuhan dan pembangunan masa depan kita. Persoalannya bukan lagi sama ada nuklear sebahagian daripada teka-teki itu, tetapi berapa banyak dan berapa cepat.”
“Ini masanya untuk kita semua bekerjasama merealisasikan matlamat ini kerana dunia memerlukan sumber tenaga bersih, 24/7 untuk memacu pembangunan, kemajuan, dan kualiti hidup,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri Rusia Alexander Novak, berkata Moscow melihat tenaga nuklear bukan sekadar satu industri, malah sektor strategik yang menjadi tunjang ekonominya.
Beliau berkata, Rusia sasar meningkatkan bahagian tenaga nuklear dalam campuran tenaganya daripada 20% kepada 25%, sambil membangunkan teknologi baharu seperti reaktor modular kecil dan kitaran bahan api tertutup.
“Forum ini adalah platform unik untuk membina kepercayaan dan membangunkan kerjasama bersama rakan kongsi kami dalam tenaga nuklear. Bidang baharu ini akan menjadi asas kemakmuran dan peningkatan penggunaan tenaga nuklear yang mesra alam di seluruh dunia.”
Sergey Kiriyenko, timbalan ketua kakitangan pertama pentadbiran presiden Rusia, berkata bidangan penyertaan antarabangsa menegaskan kepentingan tenaga nuklear yang semakin meningkat.
“Semakin banyak negara memilih membangunkan tenaga nuklear yang boleh dipercayai, bersih, selamat, dan cekap. Perjanjian serta perkongsian dicapai di sini akan menentukan nasib planet kita untuk 100 tahun akan datang,” katanya.
Ketua Pengarah Rosatom, Alexey Likhachev, berkata Minggu Atom Dunia mengetengahkan platform baharu, termasuk Forum Atom Global dan mesyuarat nuklear BRICS, sambil mengesahkan semula perkongsian dengan IAEA dan badan industri lain.
Forum itu yang diadakan bermula 25 hingga 28 Sept di Moscow, menghimpunkan pemimpin kerajaan, pertubuhan antarabangsa, pemain industri, dan pakar untuk membincangkan masa depan tenaga nuklear dan peranannya dalam pembangunan global.