
Kemelut itu menyaksikan Umno Batu memutuskan hubungan dengan PH Wilayah Persekutuan, selepas mendakwa ia tidak dilayan secara adil.
Ketuanya, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menjelaskan Umno bahagian lain turut terkesan dengan isu sama, maka perbincangan wajar diserahkan kepada ketua Umno WP Johari Ghani, ketua PKR WP Azman Abidin, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (WP) Dr Zaliha Mustafa.
Lagipun, pelantikan MPP terletak di bawah kuasa Zaliha maka sepatutnya diselesaikan di peringkat kementerian bersama pimpinan tertinggi parti, tambahnya.
“Buat masa ini perbincangan biarlah di antara Zaliha, Azman dan Johari berbincang dan berunding selesai kemelut sebab isu pelantikan MPP ini bukan soal Umno Batu sahaja,” katanya kepada FMT.
Gulam Muszaffar mengulas kesediaan Azman, yang juga timbalan pengerusi PH WP, untuk mengadakan pertemuan empat mata bagi menjernihkan keadaan.
MPP dianggotai masyarakat setempat, bertujuan melaksanakan program kemasyarakatan dan modal insan di WP, dan berperanan dalam menentukan keperluan dan penyertaan penduduk setempat dalam pembangunan.
Gulam Muszaffar ketika mengumumkan putus hubungan pada 17 Sept mendakwa PH gagal menunaikan janji memberikan satu daripada enam sub zon Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di bahagian Batu kepada Umno Batu, antara lain.
Gulam Muszaffar juga mendakwa tiada kuota MPP diberikan kepada Umno bahagian lain, kecuali di Parlimen Lembah Pantai.
Isu itu membawa kepada peletakan jawatan Gulam Muszaffar sebagai ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Wilayah Persekutuan, yang dipengerusikan Zaliha.