Malaysia gesa PBB perkasa blok serantau jadi pengantara konflik

Malaysia gesa PBB perkasa blok serantau jadi pengantara konflik

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata blok serantau memiliki kelebihan dari segi kefahaman budaya, konteks setempat serta legitimasi tempatan untuk bantu selesai konflik lebih berkesan.

tokmat
Menteri Luar Mohamad Hasan menghadiri Mesyuarat Menteri Kumpulan Sahabat Pengantaraan PBB ke-15 di ibu pejabat PBB, New York. (Gambar Facebook) 
PETALING JAYA:
Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memperkasa peranan organisasi serantau dalam usaha pengantaraan konflik memandangkan usaha keamanan dunia kini terjejas akibat kebuntuan geopolitik dan serangan terhadap proses damai.

Menteri Luar, Mohamad Hasan, berkata blok serantau seperti Asean dan Kesatuan Afrika memiliki kelebihan dari segi kefahaman budaya, konteks setempat serta legitimasi tempatan yang boleh membantu menyelesaikan konflik dengan lebih berkesan.

“Kedudukan kawasan berhampiran membina kefahaman dan kefahaman membentuk kepercayaan. Cara terbaik PBB mengukuhkan peranannya adalah memperkasa organisasi serantau sebagai pengantara,” katanya menurut Berita Harian ketika berucap pada Mesyuarat Menteri Kumpulan Sahabat Pengantaraan PBB ke-15 di ibu pejabat PBB, New York.

Beliau memberi contoh konflik di Gaza, Ukraine, Sudan dan Myanmar, di mana kebolehan bertindak Perhimpunan Agung PBB sering dihalang penyalahgunaan kuasa veto dalam Majlis Keselamatannya.

“Bukan saja pembunuhan berterusan, malah usaha pengantaraan turut dihalang. Serangan Israel terhadap Qatar tidak boleh diterima dan menjejaskan semua usaha membina keamanan di rantau itu.”

Jelasnya, pengalaman Asean membuktikan peranan penting badan serantau dalam meredakan ketegangan.

Apabila ketegangan antara Kemboja dan Thailand tercetus, Mohamad berkata, Asean segera membawa dua negara itu ke meja rundingan untuk berdialog dan melaksanakan gencatan senjata.

Katanya, Malaysia selaku pengerusi Asean berusaha menghantar Pasukan Pemerhati Asean untuk memantau keadaan.

Beliau berkata, usaha pengantaraan tidak boleh bergantung kepada inisiatif “ad hoc”atau niat politik semata-mata.

“Kerjasama PBB dan organisasi serantau perlu disusun lebih sistematik, termasuk rangka kerja bersama, perkongsian sumber serta dana berbilang tahun yang lebih terjamin.”

Tegasnya, Malaysia tetap komited untuk terus memupuk budaya dialog dan keamanan sejagat, dengan negara anggota menaruh kepercayaan kepada rakan serantau sebagai pakar sebenar dalam membina keamanan di kawasan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.