
Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar menyifatkan aneh apabila sayap Pemuda parti itu yang ‘bercita-cita tinggi gagal membentangkan pelan penambahbaikan supaya agihan subsidi dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
“Kenyataan mereka mengenai BUDI95 hanya pengulangan retorik lama, mengkritik sana-sini tanpa cadangan alternatif yang realistik.
“Adakah mereka kemukakan mekanisme untuk elak ketirisan? Tiada. Adakah mereka cadangkan strategi fiskal jangka panjang? Juga tiada,” katanya dalam kenyataan.
Mahfuz berkata BUDI95 adalah langkah transisi yang jauh lebih baik berbanding mengekalkan subsidi pukal yang hanya membocorkan kewangan negara.
Menurutnya, kenyataan Pemuda PAS hanya mencari kelemahan bagi menutup hakikat bahawa kerajaan sedang bergerak ke arah reformasi subsidi yang lebih adil dan mampan.
“Jangan hanya sibuk bermain sentimen politik berbanding menawarkan dasar rasional untuk rakyat,” katanya.
Beliau mengulas dakwaan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang menyifatkan inisiatif BUDI95 sebagai dasar populis sementara yang gagal menyelesaikan masalah fiskal negara.
Afnan turut mendakwa agihan subsidi itu gagal menutup ruang ketirisan serta tidak adil kerana golongan T20 dan kaya tetap menerima manfaat sama seperti rakyat biasa.
Melalui BUDI95 yang memanfaatkan 16 juta orang, harga RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter untuk semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah, dengan pengesahan menggunakan MyKad.
Anggota tentera dan polis akan menerima manfaat itu mulai esok, diikuti sembilan juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada golongan B40 pada Ahad sebelum diperluas kepada semua pengguna pada 30 Sept.
Selain di kaunter, orang ramai juga boleh melayari portal khas www.budimadani.gov.my, TNG e-Wallet atau aplikasi syarikat minyak untuk semakan kelayakan dan baki subsidi menerusi BUDI95.
Orang ramai boleh menghubungi talian bantuan di 1300-88-9595 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Budi Madani.