

Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pengurusan fiskal dapat diperkemas menerusi penyaluran subsidi terus kepada warganegara, tidak lagi warga asing menetap di Malaysia.
Beliau merujuk laporan Kementerian Kewangan yang menunjukkan 20% subsidi bahan bakar pada 2023 dan 2024 dinikmati kelompok terbabit.
Selepas ini warga asing menggunakan kenderaan pendaftaran Malaysia perlu membayar harga lebih tinggi berbanding semasa RM2.05 dengan jumlahnya bakal ditentukan kerajaan setiap hujung bulan.
Menurut ahli ekonomi dari Putra Business School itu, penetapan 300 liter layak dinikmati 16 juta pengguna juga dapat mengurangkan ketirisan dengan cubaan mengaut keuntungan menerusi pembelian dalam kuantiti banyak untuk penjualan semula atau penyeludupan.
“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan menguruskan fiskal dengan lebih berhemah dan tersusun serta lebih telus.
“Walaupun berisiko tetapi secara keseluruhan boleh dianggap langkah lebih mampan untuk fiskal negara,” katanya kepada FMT.
Menerusi BUDI95, harga RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter, dinikmati semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah dengan pengesahan dibuat menggunakan MyKad.
Anggota tentera dan polis akan menerima manfaat itu lebih awal bermula Sabtu ini diikuti keesokan harinya oleh sembilan juta golongan B40 terdiri penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebelum kepada semua pengguna pada 30 Sept.
Sistem identiti digital
Menurut Razman, keberkesanan intsrumen MyKad menerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dijangka dapat melancarkan BUDI95 sekali gus menjayakan inisiatif berasaskan identiti digital.
“Malah ia berpotensi menjadi model pelbagai bentuk bantuan sosial pada masa depan,” katanya.
BUDI95 enjin transformasi belanjawan
Idham Razak dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula menyifatkan, BUDI95 bukan sekadar penyelesaian jangka pendek untuk mengurangkan beban pengguna tetapi batu loncatan ke arah reformasi fiskal yang holistik dan mampan.

“Dalam konteks beban hutang tinggi dan ruang fiskal terhad, kecekapan perbelanjaan melalui penyasaran subsidi adalah kritikal untuk membebaskan sumber bagi pelaburan produktif seperti infrastruktur, pendidikan dan inovasi.
“Jika dilaksanakan dengan konsisten dan dikembangkan ke sektor lain, BUDI95 boleh menjadi enjin utama transformasi belanjawan, mengurangkan defisit struktur, meningkatkan nisbah dan produktiviti perbelanjaan awam,” kata pensyarah kanan Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan UiTM.
Katanya, usaha mengurangkan kebocoran subsidi melalui sistem bersasar seperti BUDI95 akan memberi impak makroekonomi positif.
Menurutnya, kesan positif itu akan meningkatkan keyakinan agensi penarafan kredit antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia mengurus hutang dan defisit.
“Ruang fiskal terbuka membolehkan kerajaan melabur dalam projek berkualiti tinggi, menarik pelaburan langsung asing (FDI) lebih stabil.
“Pasaran domestik lebih yakin dengan kestabilan harga relatif dan kebijaksanaan dasar kerajaan,” katanya.