Berita baik untuk Sabah diumum 10 Okt, kata PM

Berita baik untuk Sabah diumum 10 Okt, kata PM

Anwar Ibrahim berkata perkara itu akan dibentangkan pada Belanjawan 2026.

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim berucap pada Program Rapat Umum dan Himpunan PKR di Dewan Pisompuruan Kampung Kobuni Inanam, Kota Kinabalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan akan mengumumkan perkara baik untuk Sabah pada pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Okt depan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata kerajaan pimpinannya mempunyai kuasa untuk melaksanakan perkara baik untuk rakyat yang tidak pernah dilakukan kerajaan sebelum ini.

“Belanjawan negara, insya-Allah saya akan umum untuk Malaysia untuk Sabah akan ada pengumuman yang baik pada 10 Oktober ini,” katanya menurut Berita Harian ketika berucap dalam satu majlis di Kota Kinabalu.

Anwar berkata beliau juga meluluskan permintaan Sabah dan Sarawak mengenai penambahan kerusi Parlimen kepada kedua-dua negeri yang diminta sejak lebih 60 tahun lalu.

“Baru-baru ini ada mesyuarat di Kuching bincang mengenai tambah cadangan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, sejak 1963 itu yang diminta setiap tahun.

“Dalam mesyuarat itu saya umumkan, dengar baik-baik siapa yang janji tambah kerusi Sabah dan Sarawak, siapa yang luluskan, perdana menteri sekarang yang luluskan penambahan kerusi Sabah Sarawak,” katanya.

Beliau juga berkata, apa yang paling penting ketika ini adalah usaha untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup menerusi pelbagai inisiatif kerajaan.

Katanya, kerajaan membelanjakan jumlah yang besar bagi membantu rakyat menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain tambahan gaji untuk penjawat awam.

“Sebahagian besar terima STR dan SARA setiap bulan masuk, berapa setahun STR untuk semua rakyat? RM15 bilion.

“Berapa ramai penjawat awam, guru dan sebagainya kita naik gaji, tahun ini tambah RM10 bilion, tahun depan RM18 bilion,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.