Belanjawan 2026: Persatuan harap ada badan khusus ‘jaga’ industri muzik

Belanjawan 2026: Persatuan harap ada badan khusus ‘jaga’ industri muzik

Persatuan Karyawan Malaysia kata perlu ada badan seperti Finas untuk industri muzik.

Presiden Karyawan Freddie Fernandez harap hasrat mewujudkan badan untuk menaungi industri muzik dapat direalisasikan, manakala Presiden Seniman Zed Zaidi mohon dana.
PETALING JAYA:
Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) berharap hasrat mewujudkan badan khusus untuk menaungi dan menjadi suara industri muzik dapat direalisasikan, menerusi Belanjawan 2026 yang bakal dibentang pada 10 Okt ini.

Presiden Freddie Fernandez berkata, industri muzik memerlukan badan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang ditubuhkan untuk industri filem pada 1981, memandangkan banyak isu termasuk hak dan kebajikan pemain industri yang masih belum selesai.

“Kami harap kerajaan akan mengambil serius dan membantu dengan menubuhkan satu badan khas untuk menjaga industri muzik. Bukan hanya memberi geran kepada penganjur konsert dan pembikin album sahaja.

“Sudah 44 tahun Finas ada namun industri muzik makin menghadapi pelbagai masalah. Kenapa nak anak tirikan industri muzik macam ini? Patut seiring usaha itu,” katanya kepada FMT.

Menurut Fernandez, kerajaan perlu beri tumpuan terutama pada hak artis yang tidak terjamin sekian lama, misalnya kontrak bersama syarikat rakaman, bantuan untuk mendapatkan siaran di TV dan radio, dan peluang persembahan.

Tambahnya, badan khas itu juga penting dalam menangani masalah pengangguran dalam kalangan artis dan pemuzik veteran.

“Mereka hanya tahu main muzik. Kalau industri tak beri peluang pekerjaan kepada mereka macam mana nak hidup? Itulah kena ada satu badan khas yang akan tengok semua perkara ini.

“Dan juga membangunkan industri dengan pembangunan modal insan, pemberian latihan serta tempat-tempat untuk mengadakan persembahan dan sebagainya,” katanya.

Ogos lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata pihaknya sedang melaksanakan kajian pembangunan industri muzik bagi meneliti isu, cabaran serta cadangan pelan tindakan ke arah memperkasakan pembangunan industri berkenaan secara mampan dan dinamik.

Katanya, kajian itu turut memperhalusi model perniagaan, tadbir urus, perjawatan dan undang-undang khusus yang boleh menyokong pembangunan industri berkenaan.

Pada Julai 2021, Saifuddin Abdullah selaku menteri komunikasi dan multimedia ketika itu pernah mengumumkan Jemaah Menteri meluluskan penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM) bagi memperkasakan ekosistem muzik tempatan.

Jadikan industri seni penjana pekerjaan

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, memohon peruntukan tambahan khususnya bagi dana penerbitan dan produksi tempatan agar lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa.

“Ia juga termasuk kemudahan studio, dana pemasaran serta insentif cukai untuk syarikat produksi tempatan. Selain itu, pembangunan kemahiran baharu seperti teknologi kecerdasan buatan dan kesan visual untuk persediaan karyawan menghadapi cabaran digital.

“Bukan itu sahaja, dana tambahan itu juga mampu membawa karya seni Malaysia ke festival luar negara dan memperkukuh jenama negara di peringkat global,‘ katanya.

Beliau yakin industri seni yang bukan sahaja melahirkan bakat malah menjana peluang pekerjaan dan pelancongan mampu menjadi salah satu penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Dasar, dengan ada sokongan belanjawan yang lebih baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.