Zara pernah luah kecewa dengan hidup, ingin cederakan diri, dedah saksi

Zara pernah luah kecewa dengan hidup, ingin cederakan diri, dedah saksi

Menurut peguam, itulah kenyataan saksi kanak-kanak yang didengar di Mahkamah Koroner setakat ini.

zara qairina
Seorang saksi turut mendedahkan Zara Qairina Mahathir pernah mempersoalkan mengapa dia tidak disukai orang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Saksi kanak-kanak kedua memberitahu Mahkamah Koroner bahawa sejak April lalu Zara Qairina Mahathir selalu bercerita bahawa dia ingin mencederakan diri kerana terlalu kecewa dengan kehidupannya.

Peguam Azhier Farhan Arisin yang mewakili empat remaja yang dituduh dalam kes buli Zara berkata, itulah kenyataan saksi kanak-kanak yang didengar di mahkamah setakat ini, lapor Sinar Harian.

Azhier berkata saksi kanak-kanak kedua itu turut ditunjukkan satu catatan dalam diari di mana penulis mengadu mengapa dia tidak disukai orang.

“Apabila kami tanya sama ada catatan-catatan tersebut pernah ditimbulkan oleh arwah Zara kepada saksi tersebut dan saksi mengatakan pernah,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Kata Azhier, saksi kanak-kanak itu juga memberitahu pada malam Zara dipanggil dan disoal-siasat berhubung insiden kecurian, mereka tidak ada mendengar benda-benda yang pelik, seperti arwah dipukul atau diheret.

Menurut Azhier, dalam keterangan saksi kanak-kanak pertama, memaklumkan bahawa dia ada bermalam di rumah Zara di Sipitang dua hari sebelum kejadian remaja itu ditemui tidak sedarkan diri.

Katanya, saksi itu juga memberitahu terdapat insiden Zara dimarahi ibunya sebelum mereka berdua dihantar pulang ke asrama oleh ibu Zara tidak lama selepas itu.

Mahkamah dijadual meneruskan prosiding secara tertutup esok dengan mendengar keterangan daripada saksi kanak-kanak keempat dan kelima di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Zara, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan agar inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan pihak polis.

Sebelum itu, pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.