
Pengarah eksekutifnya, Amir Hadi berkata, pihaknya juga difahamkan bahawa beberapa individu yang kini ditahan berhubung demonstrasi di negara jiran itu turut diberi tekanan untuk mengakui menerima sokongan berbentuk dana serta latihan daripada Mandiri.
Tambahnya, mereka yang ditahan turut ditunjukkan gambar Mandiri bersolidariti di depan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur, termasuk dakwaan ia disokong oleh individu bernama Riza Chalid.
“Mandiri menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas dan ‘absurd’ ini. Mandiri tidak pernah terlibat dengan sebarang penyusunan dan perancangan, secara langsung atau tidak langsung berkait demonstrasi di Indonesia,” katanya dalam kenyataan.
“Tuduhan ini bukan sahaja tidak berasas, malah secara jelas direka untuk mencari kambing hitam diatas kegagalan pemerintah mereka sendiri. Ia juga satu penghinaan buat rakyat Indonesia, yang sudah tentu lebih arif perihal politik domestik mereka.”
Sedia disiasat, Amir berkata, pihaknya percaya polis Malaysia memiliki semua maklumat, termasuk setiap perjumpaan, serta aliran masuk dan keluar dana akaun kumpulan itu.
Dalam pada itu, Amir menjelaskan, lawatan Mandiri ke Jakarta pada April lepas bertujuan memperkukuh jaringan solidariti dan bertemu organisasi-organisasi masyarakat sivil bagi mempelajari isu-isu serantau.
Katanya, kegiatan ini bukan perkara asing bagi NGO, malah aktivis dari Indonesia juga sempat mengunjungi Kuala Lumpur pada akhir Julai.
“Tidak ada sebarang perbincangan berkaitan penganjuran sebarang demonstrasi sama ada di Malaysia atau Indonesia,” katanya.
Amir turut menafikan tuduhan Mandiri mempunyai sebarang kaitan dengan Riza.
“Sekiranya benar beliau kini di Malaysia, kami menggesa agar kerajaan tidak melindungi individu ini dan menghantar beliau pulang untuk diadili,” katanya.