
Saksi memaklumkan, pelajar yang menyoal siasat Zara Qairina berhubung insiden kecurian di asrama turut mempersendakan hasratnya menjadi ahli Badan Dakwah dan Kerohanian (Badar), menurut peguam Rizwandean M Borhan dan Shahlan Jufri ketika ditemui selepas tamat prosiding inkues hari ke-13 hari ini.
Peguam berkata, saksi memaklumkan bahawa pada malam 15 Julai, dia mengadu yang dompetnya hilang dan mengesyaki remaja itu, yang kemudian disoal siasat di sudut sebuah dorm.
“Pelajar yang bertanya meminta Zara bersumpah dan Zara telah bersumpah ‘Wallahi saya tidak mencuri, tidak mengambil dompet itu’. Pelajar yang membuat aduan percaya dan meminta maaf kepada Zara,” kata peguam, lapor Utusan Malaysia.
“Kemudian tiba-tiba datang satu pelajar lain masuk, marah-marah dan menuduh Zara mencuri pin bendera. Pelajar itu kemudian keluar dan masuk semula bersama dua orang rakannya. Pada masa itu, Zara masih duduk di sudut dorm berkenaan, dikelilingi beberapa pelajar lain.”
Sebelum ini, ketua warden Azhari Abd Sagap memberi keterangan bahawa lima pelajar mengaku menyoal siasat Zara Qairina sehari sebelum remaja itu ditemukan tidak sedarkan diri.
Peguam hari ini berkata, saksi kanak-kanak itu memaklumkan terdapat lima pelajar yang mengepung Zara Qairina di sebuah dorm, dan tiga daripadanya merupakan penghuni dorm itu.
Bagaimanapun, hanya seorang daripada mereka dilihat marah-marah, menurut saksi yang turut memaklumkan Zara Qairina tidak disentuh.
Rizwandean berkata, saksi kanak-kanak kedua itu memberitahu, ketika dikepung, remaja berusia 13 tahun itu menangis dan tangisannya menjadi lebih kuat apabila ditertawakan oleh mereka yang mengepungnya.
“Zara dimarahi dan dihambur dengan kata-kata seperti bodoh, sial. Saksi kata dia nampak Zara menangis dan selepas itu beberapa pelajar mentertawakan Zara.
“Kemudian ada pelajar lain membawa sepucuk surat dan menurut saksi, Zara makin ditertawakan selepas melihat surat itu. Zara makin menangis selepas itu,” katanya.
“Saksi juga memberitahu dia tidak dapat berbuat apa-apa ketika itu kerana berasa takut. Selepas pelajar-pelajar yang mengepung Zara keluar dari dorm itu, Zara turut berlari keluar.”
Berhubung isi kandungan surat itu, Rizwandean memberitahu, Zara Qairina pernah menyuarakan keinginan menjadi ahli Badar.
“(Zara) diketawakan apabila surat ini dibawa oleh salah seorang pelajar. Jadi, mereka membuat jenaka tentang surat itu,” katanya.
Prosiding bersambung esok.