NC, HEP, kaunselor kolej swasta didakwa buat hantaran palsu

NC, HEP, kaunselor kolej swasta didakwa buat hantaran palsu

Mereka didakwa menggunakan emel rasmi kolej itu untuk buat hantaran palsu terhadap seorang pelajar lelaki.

gavel
Naib canselor, ketua hal ehwal pelajar dan kaunselor Kolej Universiti Manipal Malaysia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka atas tuduhan membuat hantaran palsu terhadap seorang pelajar Jun lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang naib canselor, ketua hal ehwal pelajar (HEP) dan kaunselor sebuah universiti swasta di Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan membuat hantaran palsu terhadap seorang pelajar Jun lalu.

G Jayakumar, 63, K Dachaini, 40, dan J Lavanyaa, 26, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah, lapor Sinar Harian.

Berdasarkan pertuduhan terhadap Jayakumar dan Lavanyaa, didakwa bersubahat dengan Dachaini membuat hantaran terhadap seorang pelajar lelaki berusia 23 tahun menggunakan kemudahan rangkaian emel rasmi pentadbiran hal ehwal Kolej Universiti Manipal Malaysia yang boleh diakses melalui pautan [email protected].

Dachaini pula didakwa memulakan penghantaran komunikasi yang palsu dengan niat sama menggunakan emel rasmi kolej universiti berkenaan.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Semua perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 5.44 petang di Kolej Universiti Manipal Malaysia, 6 Jun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik mencadangkan jaminan RM30,000 untuk setiap tertuduh dengan syarat tambahan melapor diri sebulan sekali ke balai polis berhampiran dan tidak mengganggu mangsa serta saksi.

Peguam Harvinderjit Singh dan Farhan Read yang mewakili semua tertuduh merayu jaminan rendah kerana anak guamnya perlu menanggung keluarga dan beri kerjasama baik sepanjang siasatan dilakukan.

Mahkamah kemudian membenarkan Jayakumar dan Dachaini diikat jamin sebanyak RM15,000, manakala Lavanyaa RM9,000 dengan seorang penjamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.