Kerajaan akan perkenal mekanisne kawalan subsidi RON95, kata menteri

Kerajaan akan perkenal mekanisne kawalan subsidi RON95, kata menteri

Langkah itu antara lain bagi memastikan golongan seperti pemandu e-panggilan benar-benar layak dengan pengesahan syarikat.

amir hamzah
Amir Hamzah Azizan berkata persediaan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 pada tahap baik selepas semua syarikat minyak mengesahkan kesiapsiagaan masing-masing termasuk kemudahan mesin di stesen minyak. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Kerajaan akan memperkenalkan beberapa mekanisme kawalan untuk memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 berjalan lancar dan tidak disalah guna.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, berkata langkah itu, antara lain, bagi memastikan golongan seperti pemandu e-panggilan yang memerlukan lebih 300 liter sebulan benar-benar layak melalui pengesahan bersama syarikat masing-masing.

“Kalau kelayakan itu ada, mereka boleh memohon dengan sokongan syarikat. Kita boleh mengesahkan penggunaan tersebut melalui rekod sistem e-panggilan sama ada benar-benar digunakan untuk bekerja.

“Kerajaan juga tidak akan membenarkan penggunaan yang terlalu banyak dalam sehari,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Mega E-Invois Siri 2/2025 Peringkat Nasional di sini, hari ini.

Beliau berkata semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu layak menerima siling kelayakan bulanan subsidi bersasar petrol RON95 atau Budi Madani RON95 (BUDI95) hingga 300 liter sebulan.

Amir Hamzah berkata persediaan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 berada pada tahap yang baik selepas semua syarikat minyak mengesahkan kesiapsiagaan masing-masing termasuk kemudahan mesin di stesen minyak.

“Mesin untuk digunakan di kedai sudah disediakan dan kebanyakan syarikat minyak juga telah mengaktifkan sistem di terminal pembayaran sama ada di pam atau di kaunter stesen minyak.

“Persediaan ini mencukupi, namun kita tahu tiada perkara yang sempurna dan sesuatu yang baharu mungkin menghadapi sedikit kesukaran, jadi saya harap rakyat dapat bersabar. Perkara yang penting, kerajaan akan tetap memenuhi janji,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.