Dadah 3.8kg dalam kereta, rakyat Malaysia ditahan di Singapura

Dadah 3.8kg dalam kereta, rakyat Malaysia ditahan di Singapura

Dadah heroin, ganja dan ice dirampas mampu tampung bekalan kira-kira 1,300 penagih selama seminggu.

Sebanyak 1,908g heroin, 1,655g ganja dan 268g ‘ice’ dirampas daripada kereta seorang lelaki Malaysia ketika pemeriksaan rapi di Pusat Pemeriksaan Tuas. (Gambar Facebook)
SINGAPURA:
Seorang rakyat Malaysia ditahan di Singapura pada Sabtu lepas kerana cuba menyeludup lebih 3.8kg dadah bernilai lebih SGD394,000, menurut pihak berkuasa, hari ini.

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Biro Narkotik Pusat (CNB) berkata, 1,908g heroin, 1,655g ganja dan 268g ‘ice’ dirampas daripada kereta suspek lelaki berusia 37 tahun ketika pemeriksaan rapi di Pusat Pemeriksaan Tuas.

“Dadah yang dirampas itu berpotensi menampung bekalan kira-kira 1,300 penagih selama seminggu. Siasatan sedang dijalankan,” kata kedua-dua agensi itu dalam kenyataan bersama.

Ketika pemeriksaan lanjut, pegawai ICA menemukan dua bungkusan hitam, disyaki mengandungi dadah terkawal, yang disembunyikan dalam ‘panel but belakang’.

Pemeriksaan lanjut oleh pegawai CNB menemukan enam lagi bungkusan hitam yang disembunyikan di beberapa ruang di dalam kenderaan itu.

Di bawah Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, mereka yang mengimport ke atau mengeksport dari Singapura lebih 15g diamorfin (heroin tulen), lebih 250g methamphetamine, atau lebih 500g ganja, boleh berdepan hukuman mati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.