BUDI95 beri penjimatan sehingga RM200 sebulan

BUDI95 beri penjimatan sehingga RM200 sebulan

Penurunan harga kepada RM1.99 seliter cermin kesungguhan kerajaan untuk bantu meringankan kos sara hidup.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah kata kos sara hidup rakyat diberi fokus melalui BUDI95.
KUALA LUMPUR:
Pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada rakyat yang layak akan memberikan penjimatan sehingga kira-kira RM200 sebulan, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk terus membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“Perdana menteri memang beri fokus kos sara hidup rakyat melalui BUDI95 ini. Turunkan harga seperti dijanjikan kepada RM1.99 dengan harapan dapat bantu rakyat tangani kos sara hidup.

“Dalam sebulan dua ini sebenarnya harga semasa RON95 adalah antara RM2.60 ke RM2.75, jadi bila kita membeli di stesen minyak sebenarnya kerajaan dah beri subsidi agak besar. Kalau kita tengok dekat pam minyak harga RM2.60 penjimatan kepada rakyat hampir RM183.00 sebulan. Kalau harga RM2.75 jimat RM228.00 sebulan,” katanya pada taklimat media mengenai BUDI95.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter bermula 30 Sept untuk rakyat, tanpa mengira tahap pendapatan.

Warganegara yang mempunyai lesen memandu yang sah layak mendapat subsidi RON95, melibatkan lebih 16 juta orang.

Kelayakan boleh disemak mulai Khamis secara dalam talian, menerusi portal rasmi www.budimadani.gov.my di Pusat Khidmat Pelanggan BUDI95 atau melalui aplikasi Setel dan CaltexGO selepas proses verifikasi identiti selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.