2 dicekup, polis buat rampasan RM800,000 termasuk minyak sawit

2 dicekup, polis buat rampasan RM800,000 termasuk minyak sawit

Kedua-dua lelaki itu ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pemindahan minyak mentah sawit untuk dijual ke pasaran gelap.

Antara barangan yang dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu selain lori tangki selepas menyerbu sebuah bengkel dalam Op Taring Landai. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Dua lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pemindahan minyak mentah sawit secara tidak sah untuk dijual ke pasaran gelap, dalam serbuan Op Taring Landai di Perak semalam.

Serbuan oleh sepasukan anggota Unit Risikan Marin (URM) PPM Wilayah Satu Kampung Acheh pada 1 tengah hari itu turut membabitkan rampasan minyak sawit serta barangan lain bernilai RM775,620.

Menurut Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Rusley Chi Ari, serbuan dibuat ketika suspek melakukan aktiviti pemindahan minyak mentah sawit dari lori tangki ke lori kanvas.

“Kedua-dua lelaki itu mengaku membuat transaksi penjualan dan pembelian minyak sawit secara tidak sah.

“Kita kemudiannya merampas lori terbabit selain menahan dua lelaki berusia 43 dan 54 tahun itu yang bekerja sebagai pemandu lori serta penjaga premis.

“Semua rampasan termasuk lori tangki, lori kanvas, minyak sawit terpakai, tong IBC, pam minyak serta hos bernilai RM775,620,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dan semua rampasan itu dibawa ke PPM Wilayah Satu Kampung Acheh, Perak untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit 1998 (MPOB),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.