
Ramai memuji Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana menangani isu kebocoran subsidi yang sekian lama dilihat lebih menguntungkan warga asing.
“Alhamdulillah, walaupun turun hanya enam sen, sekurang-kurangnya rakyat tempatan dapat menikmatinya. Selama ini orang luar yang untung,” tulis pengguna Facebook, Jaafar Shah Haji Harun.
Pengguna X @asy4hhh pula memuji keberanian kerajaan melaksanakan langkah itu: “Tak sangka Madani berani pergi sejauh ini. Ini sepatutnya dilakukan sejak dahulu lagi bagi pastikan tiada lagi kebocoran dalam subsidi minyak.”
Sebilangan pengguna media sosial juga memuji keputusan semua golongan pendapatan tidak dikecualikan subsidi itu.
“M40 dan T20 adalah pembayar cukai terbesar. Tak adil kalau mereka diketepikan,” kata Aiman Daniel di Facebook, manakala Seah Char Boh berkata pengkritik boleh “isi RON97 ikut harga pasaran kalau tak mahu manfaat ini”.
Bagaimanapun, beberapa pengguna media sosial juga menyatakan kebimbangan berhubung pelaksanaan dan potensi penyelewengan.
Pengguna Facebook Blaxx Hauz mempersoalkan tahap kesiapsiagaan sistem: “Ikut standard Malaysia, sistem kita akan ‘crash’, itu dah terbukti. Jadi macam mana nak bayar balik kalau orang isi minyak pada harga RM2.60 ketika sistem terganggu selama lima hari?”
Seorang lagi pengguna, Ah Liew pula menggesa kerajaan memantau dan memastikan stesen minyak menyerahkan laporan jualan minyak yang sepadan dengan penggunaan rakyat.
“Tangkap dan denda stesen minyak yang bersekongkol dengan penyeludup, atau kalau mereka sendiri jadi penyeludup, penjarakan sekali,” katanya.
Bermula 30 Sept, kerajaan akan menyediakan sehingga 300 liter petrol RON95 sebulan pada harga RM1.99 seliter untuk semua rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas dengan lesen memandu yang sah.
Pengguna boleh mengesahkan MyKad di pam, kaunter, atau melalui aplikasi stesen minyak.
Warga asing, individu tanpa lesen, dan kenderaan berdaftar luar negara tidak layak, manakala kenderaan komersial kekal menggunakan sistem fleet card sedia ada.