PDAM bantu lancarkan BUDI95, mohon kerjasama rakyat

PDAM bantu lancarkan BUDI95, mohon kerjasama rakyat

Pengusaha stesen minyak sedia berusaha sebaik mungkin membantu orang ramai untuk melancarkan pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95.

Pengusaha stesen minyak mengakui mungkin ada cabaran dan kesulitan pada peringkat awal pelaksanaan BUDI95.
PETALING JAYA:
Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) akan memastikan kelancaran proses pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 melalui inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) pada 30 Sept ini.

Persatuan itu dalam kenyataan mengakui mungkin ada cabaran dan kesulitan pada peringkat awal pelaksanaan inisiatif itu.

Sehubungan itu, PDAM merayu kerjasama dan kesabaran orang ramai sepanjang tempoh peralihan terbabit.

“Pengusaha stesen minyak bersama kakitangan mereka akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu dan kami berharap talian hotline daripada kerajaan akan turut tersedia bagi kemudahan orang ramai.

“Kami juga amat berharap agar masyarakat dapat bekerjasama secara konstruktif serta mengelakkan sebarang situasi yang tidak terkawal di stesen minyak,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan dikurangkan kepada RM1.99 seliter mulai 30 Sept bawah program BUDI95.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati harga subsidi itu.

Pengesahan akan dibuat menggunakan MyKad, mekanisme sama penyaluran bantuan seperti Sumbangan Asas Rahman. Namun tiada sebarang pendaftaran diperlukan.

Sebagai penghargaan khas, seramai 300,000 anggota tentera dan polis akan menerima manfaat ini lebih awal, bermula 27 Sept.

Pada keesokan pula, sistem BUDI95 dibuka awal kepada 9 juta golongan B40 yang diluluskan sebagai penerima Sumbagan Tunai Rahmah (STR).

Warganegara asing yang memandu kenderaan pendaftaran Malaysia pula perlu membayar RM2.60 seliter, lebih tinggi berbanding harga pasaran semasa, RM2.05 seliter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.