PAS tiada pelan pikat undi bukan Melayu

PAS tiada pelan pikat undi bukan Melayu

Penganalisis politik Azmi Hassan berkata persepsi 'ekstrem' menjadi isu asas belenggu parti itu.

Muktamar PAS
Muktamar Tahunan PAS berakhir minggu lalu mahu parti itu menerajui Perikatan Nasional menuju PRU.
ALOR SETAR:
PAS memperaga kekuatannya untuk memimpin Perikatan Nasional (PN) pada penutupan muktamar tahunannya pada Selasa lalu, sejajar status parti mempunyai Ahli Parlimen terbesar di Dewan Rakyat.

Presiden Abdul Hadi Awang secara tersirat menolak Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, sebagai calon perdana menteri dengan menyatakan jawatan itu sepatutnya disandang pemimpin berusia bawah 70 tahun, manakala perwakilan sebulat suara meluluskan usul untuk parti memimpin gerakan PN dalam pilihan raya.

Namun, cita-cita parti yang semakin membuak ketika Bersatu pimpinan Muhyiddin kelihatan berpecah, terbantut kerana ketiadaan pelan jelas menarik sokongan pengundi bukan Melayu, lebih-lebih lagi sokongan kelompok itu sentiasa menjadi cabaran bagi PAS.

Walaupun mengakui keperluan untuk meraih sokongan komuniti berkenaan, seruan lantang pimpinan parti tidak disertai dengan dasar atau strategi konkrit.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, mencadangkan bahasa Tamil dan Mandarin diperkenalkan di sekolah kebangsaan bagi memperkukuh perpaduan, manakala seorang perwakilan bukan Islam menggesa ahli Muslim tidak menggunakan istilah seperti ‘kafir’ atau ‘pendatang’ terhadap bukan Islam.

Pengerusi Urimai yang mesra PN, P Ramasamy, menegaskan gabungan pembangkang itu perlu menawarkan ‘alternatif lebih substantif’ untuk menyelesaikan isu yang menjejaskan komuniti Cina dan India, termasuk dalam bidang pendidikan.

Penganalisis politik, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia dan Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata usaha PAS mengetuai PN boleh menjejaskan usaha menarik lebih ramai bukan Melayu, mengambil kira sikap tegas parti itu.

Namun, Azmi berkata isu asas membelenggu PAS ialah persepsi ia parti ‘ekstrem’, hasil daripada kenyataan kontroversi pimpinan parti, khususnya Hadi, yang pernah disiasat polis kerana melabel bukan Islam sebagai punca rasuah.

Beliau berkata, akibatnya sebarang usaha menarik sokongan bukan Melayu tidak akan membuahkan hasil, termasuk gabungan longgar baharu Bersatu dengan pihak seperti Urimai dan Muda, semata-mata kerana kaitannya dengan PAS.

“Adalah sukar untuk PAS membangunkan apa jua strategi bagi menarik sokongan bukan Melayu hanya kerana mereka PAS. Mereka (dikenali sebagai) ekstrem,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, PAS perlu meredakan usaha merampas kawalan terhadap PN, disusuli langkah lebih besar menonjolkan pemimpin profesional seperti Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan ke barisan hadapan.

“Saya fikir PAS perlu meredakan retorik ekstrem mereka dengan memberi lebih banyak peluang kepada golongan digelar profesional (berbanding golongan ulama),” kata Azmi. Namun, profesional dan teknokrat dikatakan lebih bersifat pelengkap dalam PAS.

Julai lalu, Mursyidul Am Hashim Jasin, berkata kumpulan ulama mesti kekal menerajui PAS demi memastikan parti itu terus selari dengan prinsip asas Islamnya.

Tak begitu kisah dengan bukan Melayu

James Chin dari Universiti Tasmania, berpandangan PAS sebenarnya tidak begitu mengambil berat tentang imej atau sokongannya dalam kalangan bukan Melayu, memandangkan kekuatannya terletak di kawasan nusa teras Melayu.

Beliau berkata, PN sendiri tidak pernah benar-benar bersifat berbilang kaum, dan kerjasama PAS dan Bersatu dengan sekutu berasaskan bukan Islam seperti Gerakan dan MIPP ‘sekadar simbolik’ semata-mata.

“PAS sangat jelas mengenai apa yang mereka mahukan, iaitu Malaysia dibina atas nilai-nilai Islam,” katanya.

Fauzi berkata, PAS mesti menangani persepsi dan imej berkenaan dalam kalangan bukan Melayu secara langsung serta mengadakan lebih banyak sesi libat urus terbuka dengan komuniti tersebut, khususnya mereka yang menyokong parti itu di Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Beliau berkata, PAS tidak boleh hanya bergantung kepada Bersatu untuk menampilkan wajah PN lebih sederhana kepada pengundi, dan Bersatu juga tidak boleh semata-mata menyalahkan PAS atas kekurangan sokongan bukan Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.