
Ketua Pengarahnya, Aedy Fadly Ramli, berkata lanjutan waktu operasi itu bagi memudahkan rakyat, khususnya individu mempunyai kekangan masa pada hari bekerja untuk memperbaharui lesen memandu.
“Kaunter lesen memandu dan kaunter pelbagai akan dibuka setiap Sabtu dan Ahad mulai 8.30 pagi hingga 4.30 petang di semua pejabat JPJ negeri serta cawangan,” katanya menurut Sinar Harian.
Pagi tadi, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter mulai 30 Sept ini di bawah program BUDI95, dengan pengesahan dibuat menggunakan MyKad.
Katanya, setiap rakyat Malaysia layak menggunakan 300 liter RON95 sebulan, tetapi perkhidmatan e-panggilan dikecualikan had penggunaan.
Aedy berkata, terdapat 2.3 juta pemegang lesen memandu kompeten (CDL) yang tamat tempoh melebihi tiga tahun, sementara 15.2 juta lagi pemegang CDL aktif.
Menurutnya, pemegang lesen yang tamat tempoh melebihi tiga tahun wajib menduduki semula ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 di institut memandu untuk mengaktifkan lesen mereka.
Katanya, pemegang lesen yang tamat tempoh kurang tiga tahun boleh membuat pembaharuan segera melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap atau kiosk tanpa perlu ke kaunter JPJ.
Beliau berharap inisiatif itu dapat membantu rakyat memanfaatkan kemudahan disediakan kerajaan dan meningkatkan pematuhan undang-undang jalan raya melalui penguatkuasaan lesen memandu sah.