
Amir berkata kerajaan menganggap industri semikonduktor sebagai sangat penting dan oleh itu komited untuk menyokong pertumbuhannya.
“Saya rasa kita akan memberi penekanan lebih kepada industri penting seperti semikonduktor. Insya-Allah, akan ada berita (baik) yang menunjukkan komitmen kerajaan untuk memangkin pertumbuhan sektor ini.
“Tetapi mari kita bersabar dan biar perdana menteri kita bentangkan (bajet). Saya tidak mahu mendahului,” katanya kepada pemberita di luar sesi penglibatan pihak berkepentingan pra-bajet dengan pemain industri.
Mengenai kemajuan persiapan dokumen penting itu, Amir berkata kementeriannya telah menyelesaikan rundingan dengan semua kementerian dan agensi kerajaan selain menerima cadangan daripada kerajaan negeri.
Beliau berkata kementeriannya kini sedang mengumpul pandangan daripada perbincangan kumpulan fokus dengan pelbagai kumpulan pihak berkepentingan untuk dimasukkan dalam bajet tahunan.
Menurut Asean Briefing, eksport semikonduktor Malaysia adalah kukuh pada 2024, mencecah RM575 bilion, atau USD130 bilion.
Negara ini menyumbang kira-kira 13% daripada ujian dan pembungkusan semikonduktor dunia, dengan pelaburan yang semakin meningkat dalam reka bentuk litar bersepadu (integrated circuit) yang bertujuan untuk menubuhkan hab reka bentuk IC yang utama.
Tiada rancangan semak semula mekanisme pembundaran harga
Sementara itu, Amir berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan semasa untuk menyemak semula mekanisme pembundaran harga barang kepada lima sen terdekat, satu amalan telah berkuat kuasa sejak 2008.
Beliau berkata sistem sedia ada berfungsi dengan baik dan tidak mengganggu operasi perniagaan.
“Saya rasa sistem sekarang masih terpakai. Biar sistem itu diteruskan kerana ia tidak menjejaskan perniagaan sedia ada,” katanya.
Amir mengulas mengenai laporan yang mencadangkan mekanisme itu perlu disemak semula kerana ia merugikan pengguna dan menguntungkan peniaga, terutamanya sekarang kebanyakan pembayaran dibuat secara dalam talian.
Mekanisme pembundaran itu secara rasmi diterima pakai pada 1 April 2008 untuk memudahkan transaksi tunai berikutan pengeluaran syiling satu sen daripada edaran.