
Menurutnya, ia dipercayai akibat sebahagian pemohon mula sedar cip MyKad rosak dan boleh menjejaskan akses kepada bantuan itu.
Tetapi, katanya, penggantian MyKad bukan hanya untuk tujuan akses kepada bantuan SARA, sebaliknya turut membabitkan faktor lain termasuk kerosakan, kehilangan atau bencana.
“Sejak pengumuman SARA Julai lalu sehingga sekarang, terdapat peningkatan kira-kira 20% bagi permohonan penggantian MyKad.
“Secara purata, kita terima lebih 190,000 permohonan sebulan, dengan jumlah 220,000 pada Julai dan meningkat kepada 230,000 bulan lalu.
“Angka ini membabitkan keseluruhan penggantian MyKad, bukan hanya membabitkan masalah cip semata-mata,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan ada kalangan pemohon tidak berdepan masalah sebelum ini kerana jarang menggunakan cip MyKad untuk urusan rasmi, tetapi mereka hanya mula menyedari kepentingannya apabila SARA dilaksanakan.
Bantuan SARA yang disalurkan secara sekali beri melalui MyKad bermula 31 Ogos memanfaatkan 22 juta rakyat membabitkan peruntukan RM2 bilion.
SARA diberikan kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira kategori B40, M40 atau T20 yang boleh ditebus tanpa tunai di pasar raya terpilih menggunakan MyKad.
Badrul Hisham menasihatkan orang ramai tidak perlu panik dan menyerbu JPN kerana bimbang tidak dapat mengakses bantuan SARA.
“Pastikan cip benar-benar bermasalah sebelum hadir ke pejabat kami untuk membuat gantian,” katanya sambil menambah JPN turut mengeluarkan poster panduan untuk menerangkan keadaan yang memerlukan penukaran cip MyKad.
Tegasnya, MyKad adalah dokumen pengenalan diri penting dalam pelbagai urusan, termasuk perbankan, rawatan kesihatan, pendaftaran persekolahan dan kini SARA serta sistem MyKasih.
Beliau berkata, proses penggantian MyKad mudah kerana individu hanya perlu ke pejabat JPN dengan membawa kad rosak bersama bil utiliti sebagai dokumen sokongan.
“Pengeluaran MyKad boleh siap dalam 30 minit di 210 pejabat JPN seluruh negara atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang mempunyai mesin cetak dan dibuka pada hujung minggu, manakala di cawangan negeri mengambil masa lima hingga tujuh hari bekerja.
“JPN turut menyediakan kaedah lain seperti dalam talian, MyPhone-In dan program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar),” katanya sambil menambah JPN sentiasa bersedia memastikan kelancaran urusan orang ramai, khususnya bagi membolehkan rakyat menikmati bantuan kerajaan tanpa sebarang masalah.