Penganalisis lihat masa depan Shukri, Razman goyah selepas rombakan PAS

Penganalisis lihat masa depan Shukri, Razman goyah selepas rombakan PAS

Mereka berkata tempoh Shukri Ramli sebagai menteri besar Perlis mungkin tidak lama, manakala peluang Razman Zakaria bergantung sama ada PAS akan terlepas pandang kontroversinya.

Shukri Ramli and Razman Zakaria
Shukri Ramli (kiri) dan Razman Zakaria gagal memenangi kerusi dalam kepimpinan pusat 2025-2027, selain turut digugurkan sebagai pesuruhjaya PAS Perlis serta Perak.
PETALING JAYA:
Dua penganalisis berpendapat masa depan politik Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli dan ketua pembangkang Perak, Razman Zakaria tidak menentu selepas kedua-duanya digantikan sebagai pesuruhjaya PAS negeri.

Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya dan Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, Shukri mungkin menjadi menteri besar selama satu penggal, walaupun beliau dijangka menamatkan penggal semasa.

Mohammad Tawfik Yaakub
Mohammad Tawfik Yaakub.

Tawfik berkata, kekalahan Shukri dalam pemilihan kepimpinan pusat parti baru-baru ini dan penyingkirannya sebagai pesuruhjaya PAS Perlis menunjukkan penolakan terhadap kepimpinannya di peringkat nasional.

“Beliau kalah dua pertandingan tahun ini: sebagai yang dipertua PAS Arau dan ahli Jawatankuasa Pusat. Penolakan itu jelas dan mengekalkannya sebagai menteri besar akan membawa risiko kepada PAS menjelang PRU akan datang,” katanya kepada FMT.

Mazlan berkata, tidak seperti rakan sejawatannya Nasruddin Daud (Kelantan), Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu) dan Sanusi Nor (Kedah), Shukri gagal menyerlah sebagai pesuruhjaya PAS negeri.

Mazlan Ali.

“Perlis nampaknya ketinggalan. PAS mungkin lihat rekod prestasinya kurang memberangsangkan, jadi selepas satu penggal, mereka mungkin mahu memberi peluang kepada orang lain.”

Bagi Razman pula, dua penganalisis itu berpendapat siri kenyataan kontroversinya yang sering diikuti penarikan balik dan permohonan maaf, memalukan PAS serta menjejaskan kredibiliti parti itu di Perak.

“Beliau mungkin masih mempunyai peluang memandangkan PAS di negeri lain lazimnya memisahkan peranan pesuruhjaya dan menteri besar. Tetapi sikapnya, kelantangan dan sering mencetuskan kontroversi, pada pandangan saya, menjadikannya terlalu berisiko untuk PAS,” kata Tawfik.

Mazlan berkata, penyingkiran Razman boleh mencerminkan hasrat parti mahu menamatkan tempoh panjang perkhidmatannya dan memperkenalkan wajah baharu.

“Razman terlalu senior, jadi tiba masanya memberi peluang kepada pemimpin muda di Perak untuk bangkit,” katanya sambil menolak peluang Razman dicalonkan sebagai calon menteri besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.