PAS kini tiang utama PN, kata pemimpin

PAS kini tiang utama PN, kata pemimpin

Haim Hilman Abdullah berkata naratif lama yang cuba menggambarkan PAS hanya selesa di belakang mesti dihentikan.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Haim Hilman Abdullah berkata kedudukan semasa PAS bermaksud PN mesti sentiasa mengambil kira pandangannya dalam menentukan hala tuju gabungan.
PETALING JAYA:
PAS kini tiang utama Perikatan Nasional (PN) dan tidak lagi boleh dianggap sekadar tongkat kepada pihak lain, kata pemimpin parti.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat, Haim Hilman Abdullah, berkata perkara itu berasaskan realiti PAS mempunyai 43 Ahli Parlimen – jumlah terbesar bagi parti politik tunggal di Dewan Rakyat – serta barisan kepimpinan yang menggabungkan teknokrat dan agamawan.

Exco Kedah berkata, kedudukan PAS ketika ini juga bermaksud PN mesti sentiasa mengambil kira pandangan parti itu dalam menentukan hala tuju gabungan.

“Dengan kedudukan sebagai parti terbesar di Parlimen ketika ini, PAS tidak lagi boleh dianggap sekadar tongkat. Kita adalah tiang utama dalam PN.

“Keputusan strategik PN tidak mungkin dibuat tanpa mengambil kira pendirian PAS. Inilah bukti bahawa kita bukan lagi sekadar penyokong, tetapi pemain utama,” katanya menurut Berita Harian.

Haim berkata, PAS kini menguasai empat negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis – dan perkara ini meletakkannya pada tahap terbaik untuk menawarkan kepimpinan.

“Telah tiba masanya rakyat memberi ruang kepada PAS untuk mengetuai gabungan dan memimpin negara.

“Walaupun begitu, keputusan akhir tetap dibuat secara kolektif dalam kepimpinan tertinggi PN. Apa yang penting, PAS kini jauh lebih bersedia daripada sebelumnya dan kita yakin mampu membawa hala tuju baharu untuk Malaysia.

“Naratif lama yang cuba menggambarkan PAS hanya selesa di belakang mesti dihentikan. Realitinya, PAS kini mempunyai jentera paling tersusun, sokongan akar umbi paling kukuh dan kepimpinan yang lebih diyakini,” katanya.

Bekas naib canselor Universiti Utara Malaysia berkata, PAS lahir daripada marhaen seperti petani, nelayan, penoreh getah dan orang kampung.

“Kita bermula daripada latar belakang orang susah dan sederhana, selepas lebih 70 tahun, PAS melahirkan ramai tokoh profesional doktor, jurutera, profesor, pegawai tinggi kerajaan, ahli akademik dan usahawan.

“Mereka sangat memahami kehendak rakyat. Mereka kini bersama dalam perjuangan PAS. Ini membuktikan PAS sudah bersedia mentadbir negara. Kita bukan lagi hanya parti kampung, tetapi mempunyai barisan teknokrat dan ulama yang bersih daripada rasuah dan penyelewengan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.