DUN Sabah bubar sebelum 11 Nov, kata Hajiji

DUN Sabah bubar sebelum 11 Nov, kata Hajiji

Ketua menteri Sabah bagaimanapun tidak menyebut sama ada Oktober atau November ini.

DUN SABAH
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata pembubaran DUN tidak bergantung kepada ramalan cuaca kerana penggalnya sudah di penghujung tempoh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
DUN Sabah dijangka dibubarkan sebelum ia terbubar sendiri pada 11 Nov ini bagi memberi laluan kepada PRN ke-17, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut sama ada Oktober atau November ini.

Katanya, pembubaran DUN tidak bergantung kepada ramalan cuaca Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) kerana penggalnya sudah di penghujung tempoh.

“Kita tiada pilihan sebab tempoh DUN terbubar sendiri pada November ini. Jadi, (pembubaran) mesti kita buat sebelum itu,” katanya menurut Berita Harian selepas Majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa Sabah di Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun, Penampang.

Beliau ditanya sama ada DUN dibubarkan bulan depan susulan ramalan MetMalaysia akan berlaku musim hujan pada Oktober ini.

Terdahulu, Hajiji berseloroh pembubaran DUN akan dilakukan apabila keadaan cuaca baik, merujuk cuaca tidak menentu di Sabah dengan hujan berterusan di beberapa daerah.

“Memang tidak lama lagi (DUN dibubarkan), sabarlah, tunggu. Kalau cuaca ini terang, kita bubarlah, tunggu cuaca baik nanti.”

Sementara itu, Hajiji dalam ucapannya berkata, PRN17 amat penting kerana ia akan menentukan kesinambungan pembangunan negeri bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata, kerajaan GRS pimpinannya membuktikan keupayaan dengan rekod pencapaian dalam pelbagai bidang, khususnya pendidikan, ekonomi, kebajikan, pelaburan dan pengurusan hasil negeri.

“Buatlah pilihan terbaik yang menjamin kesinambungan pembangunan, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat. PRN kali ini adalah peluang keemasan kita untuk memilih sebuah kerajaan yang kuat dan paling penting kerajaan didominasi parti tempatan.

“Jangan lagi kita mengulangi kesilapan sebelum ini, kononnya mahukan perubahan, namun lain pula jadinya. Pembangunan dan kemajuan negeri terencat. Banyak projek pembangunan terbengkalai disebabkan dasar lemah dan tidak terancang. Akhirnya, kita semua menerima kesannya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.