Agihan kerusi berlandas keadilan, bukan tuntutan MA63, kata bekas pegawai SPR

Agihan kerusi berlandas keadilan, bukan tuntutan MA63, kata bekas pegawai SPR

Wan Ahmad Wan Omar berkata Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan jumlah pengundi di setiap kawasan pilihan raya mestilah 'lebih kurang sama'.

Wan Ahmad Wan Omar
Bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Wan Ahmad Wan Omar berkata sudah wujud perbezaan jumlah pengundi bagi setiap kawasan di seluruh negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar menegaskan pembahagian kerusi Parlimen perlu berlandaskan prinsip keadilan dan tidak patut dipengaruhi tuntutan politik semata-mata.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof memaklumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bersetuju secara prinsip untuk mempertimbangkan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.

Wan Ahmad bersetuju Sabah dan Sarawak mungkin berhak mendapat lebih banyak perwakilan bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tetapi beliau menolak cadangan menambah jumlah kerusi mereka sehingga satu pertiga daripada keseluruhan kerusi di Dewan Rakyat.

Menurutnya, Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan menetapkan empat prinsip utama yang menjadi panduan SPR dalam mana-mana latihan persempadanan semula, dengan faktor demografi – saiz populasi dan jumlah pengundi – menjadi pertimbangan utama.

Memetik Seksyen 2(c) jadual itu, katanya, jumlah pengundi di setiap kawasan pilihan raya mestilah “lebih kurang sama” dan SPR hanya dibenar menggunakan budi bicaranya untuk hanya mengambil kira faktor seperti keluasan dan bentuk muka bumi sesebuah kawasan.

Beliau turut menekankan wujud perbezaan jumlah pengundi antara kawasan di setiap negeri dan mempersoalkan sama ada penambahan kerusi Parlimen di Malaysia Timur wajar.

Beliau mendapati Selangor – dengan 3.7 juta pengundi – mempunyai 22 kerusi Parlimen, manakala Johor (2.6 juta) mempunyai 26 kerusi dan Perak (2 juta) dengan 24 kerusi.

“Sarawak dengan 1.9 juta pengundi sudah mempunyai 31 kerusi. Sabah dengan 2.6 juta pengundi mempunyai 25 kerusi.”

“Setiap wakil rakyat mempunyai tugas dan tanggungjawab sama di Dewan Rakyat. Tidak adil jika Ahli Parlimen yang dipilih mewakili jumlah penduduk dan pengundi sangat tidak seimbang.

“Jika tuntutan penambahan kerusi oleh dua negeri itu dilaksanakan, ia akan mempunyai lebih banyak kerusi walaupun jumlah pengundi mereka kurang daripada negeri lain.

“Objektif utama dan semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan dalam pengagihan kerusi antara negeri di Malaysia ialah keadilan untuk semua.”

Sambil mengakui tuntutan yang digariskan dalam MA63 perlu diberi perhatian sewajarnya, Wan Ahmad berkata, prinsip keadilan dan perkadaran mesti dipertimbangkan dalam proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof memaklumkan Peguam Besar Persekutuan, Sabah dan Sarawak mempunyai pandangan berbeza berhubung perkara itu.

Bercakap di Kuching selepas mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63, Fadillah berkata, perkara itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selepas semua isu perundangan selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.