
“Sesiapa pun boleh saman kerajaan, dan sudah tentu kerajaan akan cabar,” katanya ringkas di Kuantan hari ini, mengulas saman berkaitan pembatalan sewaan itu, lapor Bernama.
Saman tersebut difailkan oleh Aerotree Defence and Services Sdn Bhd, yang menuntut sama ada perjanjian itu diteruskan atau pampasan dan ganti rugi berjumlah RM353 juta.
Menurut syarikat itu, kerajaan telah bersetuju menyewa empat helikopter Black Hawk sedia misi selama lima tahun dengan kos RM187.5 juta.
Pada November tahun lepas, Kementerian Pertahanan mengeluarkan notis penamatan perjanjian itu selepas syarikat pembekal gagal menghantar helikopter mengikut jadual, walaupun tarikh akhir telah dilanjutkan ke 30 Okt tahun lepas.
Kementerian ketika itu berkata, satu tender baharu telah dibuka bagi perolehan helikopter utiliti untuk Pasukan Udara Tentera Darat untuk sewaan lima tahun bernilai RM187.5 juta.
Sementara itu, Khaled yang ditemui di Pangkalan Udara Kuantan sempena karnival Hari Angkatan Tentera berkata, kepesatan teknologi dan perubahan geopolitik menuntut pendekatan bersepadu antara kerajaan dan masyarakat dalam menangani ancaman keselamatan.
“Kita perlu pastikan keselamatan dan pertahanan negara bukan lagi tanggungjawab angkatan tentera semata-mata, sebaliknya menjadi pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat,” katanya.