
Adun Kunak Norazlinah Arif dalam kenyataan berkata: “Kes Zara kini dalam proses mahkamah. Mengeluarkan kenyataan sebegitu bukan sahaja tidak sensitif, malah menghina proses undang-undang.”
Beliau turut menggesa agar Shafie menghormati keluarga mangsa dan proses mahkamah yang sedang berjalan.
Terdahulu, Shafie didakwa mempersoalkan kelengahan inkues tersebut, berdasarkan klip video daripada sebuah majlis makan malam yang kini tersebar.
Menerusi video itu, Shafie didengar berkata: “(Zara) sudah mati, bukan (kerana) dibuli. Ia (kes) bunuh.
“Sudah berapa kali Bukit Aman tanya (saksi)? Sudah berapa kali ditanya, orang yang sama,” katanya.
Norazlinah hari ini memberitahu Shafie agar ‘berehat’, mendakwa ucapan-ucapan beliau kebelakangan ini menunjukkan beliau sudah mula ‘penat’ dan ‘hilang arah’.
“Saya melihat ucapan-ucapan beliau … menunjukkan satu perkara – dia penat, mula hilang arah, dan tidak lagi berucap dengan fakta,” katanya.
“Rakyat hari ini bijak. Mereka tidak mahu lagi mendengar ucapan yang kosong, berbau kebencian, dan hanya tahu menyalak tanpa menyumbang.”
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di hospital pada 17 Julai, sehari selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah, pada awal pagi.
Susulan itu, pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan arahan inkues dijalankan, setelah meneliti laporan siasatan yang diserahkan oleh polis.