Cubaan seludup pil yaba RM1.5 juta melalui kurier gagal

Cubaan seludup pil yaba RM1.5 juta melalui kurier gagal

Dadah itu dipercayai akan diseludup melalui laluan haram Sungai Golok.

pil yaba
Pengerusi Pusat Pentadbiran Narkotik Sungai Golok Supeeyan Daemokleng berkata setiap pil yaba dijual pada harga kira-kira 30 baht atau RM4 sebiji. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa Thailand mematahkan cubaan menyeludup 450,000 biji pil yaba bernilai 13.5 juta baht (RM1.8 juta) ke Malaysia melalui perkhidmatan kurier semalam.

Pengerusi Pusat Pentadbiran Narkotik Sungai Golok, Supeeyan Daemokleng, berkata rampasan itu dilakukan hasil maklumat risikan penghantaran dadah melalui sebuah syarikat kurier ke bandar sempadan itu.

Beliau berkata, pihaknya melakukan risikan sejak awal pagi untuk mengesan individu yang dijangka mengambil bungkusan berisi dadah itu.

“Bagaimanapun, tiada sesiapa hadir dan semua dadah dirampas serta dibawa ke Balai Polis Sungai Golok untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, dadah itu dipercayai akan diseludup ke Malaysia melalui laluan haram Sungai Golok dan setiap pil dijual pada harga pasaran kira-kira 30 baht sebiji.

Rampasan dilakukan kira-kira 2 petang (3 petang waktu Malaysia) di bawah arahan Gabenor Wilayah Narathiwat, Trakul Thodham.

Supeeyan berkata pihaknya komited memperketatkan kawalan bagi menghalang kemasukan dadah ke Malaysia, yang sering menjadi sasaran sindiket penyeludupan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.