
Setiausaha Agung Loretto Padua Jr mendakwa, jentera Warisan adalah antara yang pertama turun padang menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.
Beliau berkata, presiden parti itu, Shafie Apdal juga antara pemimpin terawal hadir memantau keadaan banjir di Penampang dan Papar.
Tambahnya, Warisan bertindak sebagai parti pertama turun padang membantu malah ketika bencana banjir pada 2018, tanpa diarahkan oleh kepimpinan parti.
“Ini amat berlainan sekali dengan cabang-cabang PKR Sabah yang tidak pernah terlatih untuk menjadi ‘first responder’ walaupun mereka membentuk kerajaan negeri bersama-sama Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya dalam kenyataan.
“Jika cabang-cabang PKR Sabah sudah terlatih menjadi ‘first responder’, maka tidak ada keperluannya untuk PKR Pusat mengeluarkan memo mengarahkan ketua-ketua cabang turun membantu mangsa banjir.”
Mengulas lanjut, Loretto berkata, jentera PKR Sabah hanya digerakkan 48 jam selepas banjir melanda, menyifatkannya sebagai kelemahan dalam menguruskan bencana tersebut.
Beliau juga berkata, cabang negeri PKR, sebagai sebahagian pentadbiran negeri, tidak boleh menafikan hakikat mereka gagal menyelesaikan masalah banjir di negeri itu.
Terdahulu, PKR Sabah mendakwa Warisan mengutamakan agenda politiknya berbanding kebajikan rakyat apabila mengadakan acara politik walaupun banjir sedang melanda negeri itu.
Katanya, ini berbeza dengan jentera kerajaan persekutuan dan negeri, yang menumpukan perhatian untuk membantu mangsa banjir dan tanah runtuh sepanjang minggu lalu.
Sehingga 5 petang tadi, 1,507 mangsa banjir ditempatkan di 15 pusat pemindahan di Penampang, Membakut dan Papar.
Seramai 13 orang, termasuk tujuh kanak-kanak, terkorban akibat tanah runtuh dan hujan lebat di Sabah.