Wanita maut, 2 cedera khemah dihempap pokok di Janda Baik

Wanita maut, 2 cedera khemah dihempap pokok di Janda Baik

Bomba berkata khemah yang didiami mangsa dihempap pokok setinggi kira-kira 15m.

pokok tumbang janda baik
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang maut dalam kejadian pokok tumbang di sebuah tapak perkhemahan di Pulau Santap di Janda Baik, Bentong, Pahang pagi tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang wanita maut manakala dua lagi cedera parah selepas khemah yang didiami mereka di Pulau Santap di Janda Baik, Bentong, Pahang ditimpa pokok tumbang pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pokok tumbang di tapak perkhemahan itu pada 7.56 pagi.

Katanya, kejadian itu melibatkan seorang wanita yang maut di lokasi kejadian manakala dua mangsa lelaki termasuk seorang kanak-kanak cedera parah.

“Sejurus mendapat laporan, 12 anggota Balai Bomba Bentong bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, mereka mendapati sebatang pokok setinggi kira-kira 15m menghempap sebuah khemah. Anggota kemudian memotong pokok sebelum menemui tiga mangsa dalam khemah terbabit,” katanya dalam kenyataan lapor Berita Harian.

Katanya, ketika ditemui mangsa wanita sudah meninggal dunia manakala dua lagi cedera.

Zulfadli berkata mayat wanita itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala dua mangsa cedera, dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.