
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara, berkata Lembah Klang terutamanya layak mendapat perwakilan lebih besar mengambil kira kepadatan penduduk.

“Saya pasti DAP khususnya mahu kerusi Parlimen Kuala Lumpur ditambah kerana di mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi, bilangan kerusi Parlimen dibuat berdasarkan jumlah penduduk.
“Amerika Syarikat (AS) contoh baik dan jelas,” katanya kepada FMT.
Azmi memberi peringatan berkait tuntutan Sarawak untuk berhak mendapat lebih banyak kerusi di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) — dan bukannya berdasarkan saiz penduduk — boleh mencetuskan rasa tidak puas hati di Semenanjung.
Beliau berkata, parti politik di Semenanjung berkemungkinan akan mendesak lebih banyak kerusi ditambah sekiranya Sarawak meningkatkan perwakilannya.
“Jika tujuh kerusi Parlimen tambahan diberikan kepada Sarawak, saya pasti mereka akan minta tujuh kerusi di Semenanjung.”
Beliau turut merujuk kepada pertembungan berterusan antara parti Republikan dan Demokrat untuk mewujudkan kawasan pilihan raya baharu di kubu masing-masing dalam usaha menguasai Kongres AS.
“Republikan menambah lima kerusi mereka di Texas, jadi Demokrat di California bertekad mengikut jejak sama,” katanya.

Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz menegaskan sebarang semakan terhadap agihan kerusi Parlimen mestilah berlandaskan prinsip setiap undi yang diputuskan hendaklah mempunyai pemberat yang sama.
“Bagi Bersih, prinsip ‘satu orang, satu undi’ adalah penting,” katanya.
Faisal berkata, walaupun cadangan menambah perwakilan Parlimen boleh diterima, memperuntukkan satu pertiga daripada kerusi Dewan Rakyat kepada Malaysia Timur akan mewujudkan ‘ketidakseimbangan’ dan ‘ketidakadilan’ dalam tebaran undi di seluruh negara.
Beliau mencadangkan agar kebimbangan Sabah dan Sarawak ditangani di Dewan Negara.
“Borneo boleh mendapatkan satu pertiga daripada kerusi Dewan Negara jika mereka bimbang mengenai penghakisan hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Dewan Negara masih mempunyai kuasa menyekat sebarang pindaan kepada Perlembagaan,” katanya.
Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju secara prinsip mempertimbangkan penambahan jumlah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, menurut Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.
Fadillah berkata, isu perundangan yang timbul daripada ‘perbezaan pandangan’ yang dipegang oleh peguam negara, peguam besar di Sabah dan Sarawak perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum perkara itu dibentangkan di Kabinet.