Letak STPM, matrikulasi bawah KPT bukan keperluan mendesak, kata ahli akademik

Letak STPM, matrikulasi bawah KPT bukan keperluan mendesak, kata ahli akademik

A Aziz Azizam berkata sistem sedia ada bawah KPM berjalan dengan baik dan tidak menimbulkan masalah besar.

universiti student
Ahli akademik berkata isu kemasukan pelajar ke universiti akan sentiasa ada bagi mereka yang merasakan ‘sistem tidak adil’.
PETALING JAYA:
Ahli akademik menyifatkan cadangan laluan kemasukan ke universiti awam melalui Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi diletakkan bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bukan keperluan mendesak.

A Aziz Azizam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, sistem sedia ada bawah Kementerian Pendidikan (KPM) berjalan dengan baik dan tidak menimbulkan masalah besar.

A Aziz Azizam
A Aziz Azizam.

“Cadangan ini timbul hanya kerana satu kes terpencil melibatkan seorang calon yang tidak memenuhi syarat dan bukan berpunca daripada kelemahan struktur sistem itu sendiri.

“Perubahan secara tergesa-gesa seperti ini boleh menimbulkan polemik tidak sihat,” katanya kepada FMT.

Rabu lalu, bekas menteri Nik Nazmi Nik Ahmad mencadangkan laluan kemasukan ke universiti awam melalui STPM dan matrikulasi diletakkan bawah KPT bukannya KPM.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, cadangan tersebut selepas melihat sistem kemasukan universiti sedia ada yang terpecah menjadi antara punca utama timbulnya kontroversi berulang saban tahun berhubung isu kemasukan pelajar.

Bekas menteri sumber asli dan kelestarian alam berkata, kerajaan ada membincangkan cadangan supaya kedua-dua laluan itu disatukan bawah KPT, yang menurutnya lebih memahami keperluan institusi pengajian tinggi serta pelajarnya.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata cadangan Nik Nazmi belum tentu menyelesaikan masalah.

Katanya, isu kemasukan pelajar ke universiti akan sentiasa ada bagi mereka yang merasakan ‘sistem tidak adil’.

“Kalau nak teruskan dengan cadangan Nik Nazmi, boleh mulakan dengan kaji semula sistem kemasukan universiti. Boleh (juga) nilai keputusan matrikulasi atau STPM dengan prestasi tahun pertama di universiti.

“Mungkin ini boleh buktikan pelajar tersebut layak ke program yang mereka dapat,” katanya.

Jumaat lalu, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) menggesa program matrikulasi digantikan dengan STPM sebagai satu-satunya standard kemasukan universiti.

Presidennya, Tang Yi Ze, berkata silibus STPM lebih baik kerana lebih mencabar serta diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, UM mempertahankan program matrikulasi dengan Naib Canselor Noor Azuan Abu Osman menyifatkan ia memainkan peranan utama sebagai sistem pendidikan komprehensif yang memberi akses pengajian tinggi kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.