
Timbalan Presiden MIC M Saravanan mengakui PAS dan Bersatu ada membuat pelawaan berkenaan, namun keputusan akhir bergantung kepada sokongan perwakilan.
“Memang ada jemputan daripada PAS dan Bersatu, saya ucapkan terima kasih dan perkara ini boleh diputuskan oleh perhimpunan agung, bukan saya ataupun presiden. Memang saya dengan presiden tak ada kuasa untuk memutuskan.
“Bulan November ini, perwakilan akan memberi pendapat. Walaupun kita setakat ini sudah dapat mandat daripada beberapa negeri, keseluruhan keputusan tetap kita serah kepada perhimpunan agung,” katanya menurut Sinar Harian.
Saravanan ketika mengulas lanjut, berkata jemputan itu membuktikan PAS melihat MIC sebagai kuasa yang masih berpengaruh khususnya dalam kalangan masyarakat India.
Dalam pada itu, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata beliau sendiri akan mendapatkan penjelasan langsung daripada Presiden MIC SA Vigneswaran berkait kerjasama parti diketuainya bersama PN.
“Saya akan tanya kepada beliau sendiri,” katanya memetik Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Vigneswaran memaklumkan MIC tidak menolak kemungkinan parti itu menyertai PN, namun masih terlalu awal untuk membuat keputusan berkaitan isu berkenaan.