
Dalam muktamar minggu lalu, PAS membawa usul untuk ‘memimpin Perikatan Nasional (PN) dan mempunyai calon perdana menterinya’, selepas Bersatu menamakan Presiden Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri parti itu bagi PRU16 pada perhimpunan agung 7 Sept.
“Keputusan yang dibuat oleh setiap parti adalah di peringkat masing-masing dan sewajarnya dihormati oleh semua pihak.
“PAS menegaskan komitmen untuk terus bersama rakan-rakan gabungan dalam PN dalam usaha menghadapi PRU16,” kata Idris dalam kenyataan.
Beliau berkata, perpaduan dalam gabungan itu adalah kekuatan utama bagi memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara, di samping memperkasakan PN sebagai sebuah gabungan politik yang lebih utuh, berprinsip dan berpandangan jauh.
Katanya, PN perlu terus mengutamakan isu rakyat yang semakin mencengkam kehidupan seharian mereka.
“Antara yang perlu diberi perhatian ialah pembelaan terhadap Akta Pembaharuan Semula Bandar, kesan penyasaran subsidi RON95, kos sara hidup, serta pelbagai lagi permasalahan yang rakyat amat mengharapkan PN untuk membela mereka,” katanya.
Walaupun usul dikemukakan pada muktamar minggu lalu, Presiden PAS Hadi Awang berkata Majlis Tertinggi PN akan menentukan calon perdana menteri gabungan itu.
Sementara itu, Pengerusi PN Muhyiddin menegaskan semua komponen PN mempunyai hak untuk menamakan calon perdana menteri masing-masing, namun keputusan muktamad akan dibuat kepimpinan tertinggi gabungan.