Bekas TPR cadang perjanjian dua hala, dapatkan pampasan kos latihan perubatan

Bekas TPR cadang perjanjian dua hala, dapatkan pampasan kos latihan perubatan

C Vignesh Kumar berkata cadangannya sejajar dengan Kod Amalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, tetapi mengingatkan kemungkinan adanya langkah balas.

doctor
Cabaran sebenar untuk Malaysia adalah dalam memperbaiki keadaan domestik untuk mengekalkan bakat dalam golongan pengamal perubatan, kata pengamal undang-undang buruh, V K Raj. (Gambar Reuters) 
PETALING JAYA:
Seorang bekas timbalan pendakwa raya dengan kepakaran dalam perundangan antarabangsa, mencadangkan supaya Malaysia mengadakan perjanjian dua hala dengan Singapura bagi mendapatkan pampasan bagi dana awam dibelanjakan untuk melatih doktor serta jururawat yang kemudian berhijrah ke republik itu.

C Vignesh Kumar berkata, jika perjanjian seperti itu diratifikasi, ini boleh dirangkumkan dalam undang-undang domestik kedua-dua negara.

Menurut Vignesh, Kod Amalan Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia menggalakkan perjanjian antara kerajaan yang membawa manfaat bersama dan mengurangkan kesan negatif terhadap negara yang berdepan masalah kesihatan mendesak.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa cadangan itu berkemungkinan berdepan cabaran dari segi undang-undang dan teknikal, seperti dari segi mekanisme penguatkuasaan; sama ada Singapura akan bersetuju mengutip dan menghantar levi berkenaan ke Malaysia; selain kemungkinan langkah balas seperti yuran visa lebih tinggi.

C Vignesh Kumar
C Vignesh Kumar.

“Pertelingkahan antara kerajaan juga mampu melambatkan proses itu sehingga bertahun-tahun, kerana penyelesaian pertelingkahan antarabangsa memakan masa lagi rumit,” katanya kepada FMT.

Vignesh mengulas kenyataan bekas menteri Abdul Rahman Dahlan yang menggesa kerajaan persekutuan mendapatkan pampasan daripada Singapura bagi menampung kos subsidi yang dibelanjakan untuk mendidik dan melatih doktor serta jururawat yang kemudian meninggalkan negara untuk bekerja di negara itu.

“Jika perjanjian dua hala dicapai, dana ini boleh disalurkan ke arah program latihan untuk sistem penjagaan kesihatan Malaysia,” katanya.

V K Raj, yang juga pakar undang-undang buruh, bagaimanapun menolak cadangan Abdul Rahman itu.

V K Raj
V K Raj.

Katanya, Singapura tidak mungkin melayan perbincangan seperti itu pada peringkat antara kerajaan, memandangkan doktor terlibat berhijrah secara sukarela.

“Doktor Malaysia yang bekerja di negara lain memilih berbuat demikian kerana mempunyai prospek kerjaya lebih baik di sana, dengan terma dan syarat pekerjaan yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut mengkritik Abdul Rahman kerana disifatkan tidak memikirkan semasak-masaknya sebelum membuat kenyataan berkenaan.

Katanya, cabaran sebenar untuk Malaysia adalah dalam memperbaiki keadaan domestik bagi mengekalkan bakat perubatannya.

“Untuk mengekang penghijrahan besar-besaran, kerajaan mesti menawarkan terma dan syarat perkhidmatan lebih baik kepada golongan doktor, sama ada warga tempatan atau asing, supaya kekal di Malaysia atau datang ke sini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.