
James Chin dari Universiti Tasmania dan Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia, berkata fenomena ini bukan hanya di Malaysia tetapi sebahagian trend global, di mana populariti lebih menonjol berbanding kepimpinan berwibawa.
Mereka menjelaskan, algoritma media sosial hanya menyiarkan kandungan yang seiring dengan minat pengguna, menyebabkan orang ramai enggan menerima pandangan berbeza.
“Oleh sebab mereka (platform media sosial) mahu mengekalkan anda di platform mereka, mereka terus menunjukkan perkara yang anda suka. Mereka tahu jika mereka tunjukkan sesuatu yang baharu, anda tidak akan menyukainya,” kata Chin.

“Kita akhirnya enggan mendengar pandangan alternatif. Kita hanya mahu mendengar pandangan yang sama dengan kita.”
Fauzi senada, sambil berkata fenomena ini telah memecahbelahkan masyarakat. Beliau turut berkata sifat segera media sosial menjadikan perbincangan jangka panjang hampir mustahil.
“Semua orang terlalu taasub dengan apa yang berlaku sekarang,” katanya.
Media sosial juga memberi platform kepada semua orang menyuarakan pandangan, kata Fauzi, menjadikan semua orang ‘pakar segera dalam semua bidang’. Ini sekali gus menimbulkan rasa tidak percaya terhadap pihak berkuasa, insitusi dan pakar sebenar, tambahnya.

Fauzi berkata faktor-faktor ini boleh membawa kepada perubahan dasar yang kerap dan penggal kerajaan yang pendek, dengan pemimpin politik berusaha mencari kompromi yang akhirnya tidak berdaya maju semata-mata untuk kekal berkuasa.
Chin berkata sifat segera media sosial telah memendekkan jangka perhatian pengguna. Kandungan semakin dibentuk untuk mengekalkan penonton dan meningkatkan interaksi, katanya, dengan keutamaan diberikan kepada mengekalkan perhatian pengguna berbanding menyampaikan isi yang bermakna.
“Maka kita lebih cenderung kepada personaliti berbanding dasar — kerana dasar terlalu sukar untuk dijelaskan (dalam video atau hantaran pendek),” katanya.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Pandan daripada PKR, Rafizi Ramli meluahkan rasa kesal bahawa rakyat Malaysia cenderung menilai ahli politik berdasarkan personaliti dan sentimen, bukannya kecekapan sebenar untuk memimpin dan mentadbir.
Katanya, perkara ini telah membawa kepada kemunculan ramai individu sebagai calon perdana menteri, walaupun hanya segelintir mempunyai penyelesaian terhadap masalah negara.
Rafizi menambah, masyarakat Malaysia mesti menilai semula cara memilih ahli politik dan parti politik jika mahu mengatasi pelbagai isu berpanjangan yang membelenggu negara.
Chin berkata trend global ini kelihatan mustahil untuk dihentikan, dengan merujuk kepada pemilihan Donald Trump sebagai presiden Amerika Syarikat (AS) sebagai contoh. Katanya, Rafizi sekadar menekankan masalah yang sudah lama diketahui ‘tetapi kita tidak mempunyai penyelesaiannya buat masa ini’.
Beliau memberi amaran bahawa penggunaan kecederdasan buatan (AI) secara meluas akan menyebabkan kandungan media sosial lebih dikawal secara tersusun, sekali gus memperkukuh lagi politik berasaskan personaliti.
Kerajaan ‘takut’ media sosial
Fauzi berkata kerajaan kini semakin takut dengan kuasa media sosial sehingga mengetepikan pandangan cendekiawan dan ahli akademik dalam pembuatan dasar.
“Ia telah sampai ke tahap di mana sentimen lebih penting daripada ilmu dalam membuat keputusan.
“Tetapi kebiasaannya yang berlaku, tokoh-tokoh ilmu ini akan dilabel secara tidak wajar jika pandangan mereka bertentangan dengan trend media sosial,” kata Fauzi.
Beliau menyeru pemimpin negara memberi keutamaan kepada pembinaan masyarakat berilmu berasaskan merit dengan mengambil kira pandangan cendekiawan tanpa mengira kecenderungan politik mereka.