
Beliau berkata, Cheah tidak ada melanggar mana-mana garis disiplin, sebaliknya punca itu berlaku akibat kelewatan MPM sendiri.
“Ini bukan cara kita melayan atlet yang telah mengangkat nama Malaysia di persada dunia.
“Cheah merupakan seorang atlet yang rajin dan setiap kali bertanding, membawa pulang pingat untuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, dilaporkan MPM bakal mengambil tindakan tegas terhadap Cheah yang merupakan pemenang pingat emas sukan Paralimpik Paris 2024 selepas meluahkan kekecewaannya ke atas badan induk itu.
Presiden MPM Megat D Shahriman Zaharudin, berkata organisasi berkenaan akan mempertimbangkan tindakan undang-undang selepas kenyataan secara terbuka Cheah di media sosial dianggap mencalarkan kredibiliti dan merencatkan kemasukan penaja di masa hadapan.
Malah, Megat menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan penggantungan terhadap atlet berkenaan daripada menyertai mana-mana temasya besar.
Terdahulu, Cheah meluahkan rasa kecewa terhadap MPM yang didakwa masih gagal menunaikan janji menyalurkan insentif tunai RM60,000 kepada pemenang emas, walaupun temasya itu sudah setahun berlalu.
Mengulas lanjut, Hannah berkata penaja yang ingin memberi insentif itu mahu menyokong dan meraikan kejayaan atlet bukan untuk menaja MPM sahaja.
Katanya, Cheah berada di bawah jagaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
“Apa-apa keputusan mengenai kedudukan Cheah bukan di tangan MPM semata-mata. MPM tidak berhak bertindak sendiri,” katanya.