
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata pihaknya sudah menerima laporan daripada MAHB mengenai punca gangguan sementara dan ia akan disusuli tindakan selanjutnya.
“Seperti yang saya katakan mereka (MAHB) perlu ‘redesign’ punca kuasa bekalan elektrik supaya tidak berlaku ‘black out’ lagi,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran identiti baharu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia CAAM.
Sebelum ini, Loke mengarahkan MAHB meneliti semula prasarana elektrik di KLIA2 susulan gangguan sementara bekalan di Terminal 2, 29 Ogos lalu.
Katanya, penjelasan MAHB insiden itu berpunca daripada sistem pendawaian terlampau panas menyebabkan kabel terbakar sehingga memerlukan tempoh 28 minit untuk kuasa elektrik dikembalikan adalah sukar diterima.
Susulan gangguan elektrik lebih 20 minit dialaminya sendiri sebelum melancarkan satu majlis di lapangan terbang itu, Loke turut mengarahkan pengurusan MAHB dan KLIA2 menghantar laporan dalam tempoh 24 jam.
Sementara itu, Loke berkata CAAM mengutamakan pengambilan semula kakitangan bawah Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sebagaimana dijanjikan sebelum ini.
“Pada dasarnya, mereka yang sudah disahkan jawatan dan bekerja dengan Mavcom sebelum ini akan diserap ke dalam struktur CAAM yang baharu.
“Sudah tentu ada sebilangan daripada mereka tidak menerima tawaran. Mungkin disebabkan oleh faktor usia atau tidak berpuas hari dengan pakej ditawarkan,” katanya.
Katanya, itu pilihan mereka dan pihaknya cuba sedaya upaya untuk menawarkan sesuatu yang terbaik.
CAAM dilaporkan mengambil alih fungsi kawal selia Mavcom berkuat kuasa 1 Ogos lalu susulan pengumuman Loke pada 23 Jun yang kedua-duanya akan dirasionalisasikan.