
Beliau yang lebih dikenali Ku Li berkata, sebelum negara merdeka dan penubuhan Malaysia, aset hidrokarbon bukan milik kita.
“Minyak itu hak British, diserahkan kepada Royal Dutch Shell. Mereka sudah pun menjana berbilion dolar keuntungan,” katanya dalam audio siar bersama Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Namun, kebimbangan besar tercetus selepas penubuhan Malaysia pada 1963.
Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Abdul Rahman Ya’kub, bimbang negara mungkin berpecah seperti yang berlaku dengan Singapura. Justeru beliau mencadangkan hasil minyak dimanfaatkan bersama, secara kolektif sebagai satu negara.
“Rahman minta kita fikir jalan bagaimana aset penting ini boleh jadi milik kita bersama,” jelas Ku Li.
PDA wujud hasil konsensus semua negeri
Tengku Razaleigh mendedahkan beliau ditugaskan menemui pemimpin di setiap negeri untuk mencari kata sepakat. Hasilnya, semua pemimpin bersetuju hanya dengan dasar bersama, negara akan lebih kukuh.
Daripada kesepakatan itulah, katanya, Petronas ditubuhkan – satu-satunya syarikat ditubuhkan di bawah akta Parlimen – dan model Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSC) yang memastikan hasil negara dikongsi bersama.
“Disebabkan kesatuan itu, Royal Dutch Shell akhirnya tunduk dan menyerahkan kembali hak minyak dan gas kepada kita. Daripada situ wujudlah perjanjian di bawah PDA.”
Politik kini gugat perjanjian
Namun, Tengku Razaleigh kecewa apabila semangat muafakat itu kini kian terhakis. Baginya, politik sudah mula mencabar perjanjian yang dipersetujui bersama.
“Kalau sebabnya tidak cukup duit, bincanglah. Ada wakil rakyat, ada menteri. Nyatakan berapa yang diperlukan. Jangan kita terus-menerus berkelahi atas tafsiran undang-undang. Apa gunanya bertekak pasal undang-undang? Semua orang ada tafsiran sendiri.”
Beliau memberi amaran pertikaian berterusan hanya membuka ruang kepada campur tangan asing.
“Apakah selepas ini kita mahu orang luar jadi penimbang tara? Itu mengundang campur tangan antarabangsa. Jika kita sendiri tidak hormat undang-undang dan perjanjian kita, apatah lagi pelabur luar – mereka lagi tidak akan hormat.”
Muafakat kunci kestabilan
Tengku Razaleigh menegaskan, kekuatan Malaysia selama ini datang daripada perpaduan dan kesepakatan yang lahir melalui PDA.
“Petronas bukan milik individu atau negeri, ia milik Parlimen – milik semua rakyat Malaysia,” tegasnya.
Beliau mengingatkan sejarah tidak boleh diubah, tetapi boleh berulang jika kita alpa.
“Dulu kita bersatu, maka kita berjaya memerdekakan ekonomi daripada cengkaman asing. Kalau kita terus bertelingkah, pelabur tidak akan datang. Akhirnya, ruginya kita sendiri,” katanya.