Inkues Zara: Diari dan buku latihan ditemukan di almari, rak

Inkues Zara: Diari dan buku latihan ditemukan di almari, rak

Semua dokumen ditemukan pada hari kejadian dan hari selepas kejadian sebelum diserah kepada polis.

zara qairina
Zara Qairina Mahathir, 13, meninggal dunia di HQE pada 17 Julai, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU Mahkamah Koroner diberitahu bahawa tiga diari, beberapa buku latihan serta 15 helaian kertas diari milik Zara Qairina Mahathir dijumpai di almari dan rak buku kelas secara berperingkat sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Warden Asrama SMKA Tun Datu Mustapha di Papar, Azhari Abd Sagap, 31, berkata penemuan pertama adalah pada 11.15 pagi, 16 Julai, apabila seorang guru dikenali sebagai ‘Cikgu Gloria’ memaklumkan kepadanya mengenai dua diari berwarna hijau dan ungu yang dijumpai di almari remaja perempuan itu.

“Ketika itu, saya berada di Hospital Queen Elizabeth (HQE) … saya kemudian mengarahkan agar kedua-dua diari tersebut diserahkan kepada Cikgu Yuslina untuk simpanan sementara,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada hari kelapan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja itu.

“Penemuan susulan pada keesokan harinya, iaitu 17 Julai, semasa saya berada di HQE pada 3.30 petang … ibu Zara Qairina memaklumkan bahawa beliau ingin mengambil barang-barang anaknya di asrama.”

Susulan itu, saksi tersebut berkata, beliau meminta ‘Cikgu Miswati’ membantu mengemaskan barang-barang Zara Qairina di almari dan diletakkan di bilik isolasi di aras bawah bangunan asrama.

“Saya dimaklumkan oleh Cikgu Miswati bahawa beliau menjumpai sebuah buku diari berwarna coklat dan sebuah buku latihan milik Zara Qairina di almari tersebut. .. saya telah meminta (beliau) menyerahkan kedua-dua buku tersebut kepada Cikgu Yuslina,” katanya.

Azhari berkata, Cikgu Yuslina menyerahkan tiga diari dan sebuah buku latihan kepadanya pada 8.30 pagi, 18 Julai, dan pada hari sama, keempat-empat buku diserahkan kepada pegawai penyiasat kes Wong Yew Zhung pada kira-kira 5 petang.

“Pada 19 Julai, sebanyak 15 helaian kertas diari milik mangsa turut ditemukan oleh Cikgu Miswati ketika melakukan pemeriksaan di rak buku kelas Zara Qairina sekitar 8 pagi, dan kesemua helaian kertas tersebut kemudian diserahkan kepada Cikgu Yuslina sebelum disampaikan kepada saya.

“Saya kemudian menyerahkan 15 helaian kertas tersebut kepada Wong pada 3 petang hari sama,” katanya.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari selaku pegawai pengendali inkues, Azhari berkata, beliau turut menyerahkan dua buku latihan Zara, iaitu Bahasa Melayu dan Sains, atas permintaan polis.

Zara Qairina, 13, pelajar SMKA Tun Datu Mustapha, meninggal dunia di HQE pada 17 Julai, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.