PAS tak umum calon PM awal elak diserang lawan, kata Tuan Ibrahim

PAS tak umum calon PM awal elak diserang lawan, kata Tuan Ibrahim

Timbalan presiden PAS berkata, fokus utama PAS ketika ini adalah menang pilihan raya terlebih dahulu.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS tidak ketandusan calon tetapi pengalaman lampau mengajar parti itu untuk tidak membuat pengumuman terlalu awal.
ALOR SETAR:
PAS enggan mengumumkan calon perdana menteri terlalu awal kerana tidak mahu individu tersebut menjadi sasaran serangan peribadi, kata Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim berkata, fokus utama PAS ketika ini adalah memenangi pilihan raya terlebih dahulu, dan siapa yang akan dilantik menjadi perdana menteri mewakili gabungan pembangkang akan diputuskan secara konsensus.

Dalam ucapan penggulungannya pada Muktamar Tahunan PAS Kali ke-71 di Kompleks PAS Kedah, beliau juga sekali lagi menegaskan, PAS bukan ketandusan calon tetapi pengalaman lampau mengajar parti itu untuk tidak membuat pengumuman terlalu awal.

“Sebenarnya kita tak pernah kekurangan barisan kepimpinan. InsyaAllah kita mampu menerajui.

“Cuma ingat, dalam konteks politik Malaysia, pengalaman lampau bila kita isytihar (calon perdana menteri), semua senjata akan tertumpu kepada kita,” katanya merujuk Ashaari Muhammad yang pernah diumumkan sebagai calon perdana menteri keenam oleh parti itu pada 1970an sebelum beliau menubuhkan Al-Arqam.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim turut menyeru ahli parti agar tidak ‘menyerang’ sekutu sendiri kerana ia hanya akan merugikan parti.

Sebaliknya, katanya, serangan harus disasarkan terhadap musuh politik sebenar.

Ahli PAS juga perlu fokus mempertahankan negeri dan kerusi yang telah dimenangi Perikatan Nasional (PN) supaya ia tidak terlepas kepada lawan, tambahnya.

“Sebahagian kita ada kali pertama jadi pentadbir, exco negeri, Ahli Parlimen atau Adun, kita tahu bagaimana payah nak kekal kemenangan dengan cabaran penggal kedua,” katanya memberi contoh kemenangan dan kekalahan PAS di Kedah, Terengganu dan Kelantan sebelum ini.

“Jadi benda yang merugikan jemaah perlu diketepikan. Fokus senjata kepada musuh, bukan kepada rakan sendiri. Jangan paksa jemaah terima pandangan peribadi, (sebaliknya)pandangan itu perlu dinilai dan dianalisis. Sebab itu penting untuk patuh arahan dan keputusan parti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.