
Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad berkata, majoriti kutipan itu telah digunakan untuk membeli sebidang tanah di Putrajaya bagi tujuan pembinaan tersebut.
Menurutnya, selepas ditolak kos pembelian tanah, cukai, fi guaman dan perancangan, serta caj juruukur, baki dana yang tinggal kini adalah sebanyak RM528,430.
“Setelah lebih 20 tahun, PAS akhirnya miliki tanah atas nama parti melalui pemegang amanah berdaftar,” katanya ketika membentangkan laporan kewangan parti pada Muktamar Tahunan PAS ke-71 di sini.
Iskandar berkata, reka bentuk bangunan kini pada peringkat akhir perbincangan dengan arkitek dan permohonan kebenaran merancang dijangka dikemukakan pada Januari atau Februari depan.
Katanya, projek tersebut disasarkan siap dalam tempoh tiga hingga empat tahun, namun tapak itu sudah boleh dimanfaatkan oleh parti.
“Jika kita nak adakan muktamar di sana, di bawah kanopi, sama seperti yang pernah kita lakukan di Johor sebelum ini pun boleh,” katanya.
Buat masa ini, ibu pejabat PAS beroperasi di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Bangunan baharu itu nanti dijangka dilengkapi dewan konvensyen berkonsepkan futuristik.
Iskandar berkata, PAS Kelantan merekodkan kutipan sumbangan tertinggi, diikuti Terengganu dan Selangor.
Parti juga masih mempunyai baki tunai positif berjumlah antara RM700,000 hingga RM800,000, tambahnya.
“Hampir 50% perbelanjaan parti disalur untuk laksanakan program. Wang sepatutnya digunakan, bukan hanya disimpan,” katanya.
Menurut Iskandar, PAS kini mengharapkan skim sumbangan bulanan ‘Infaq Istiqamah’, menyasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 10% ahli. Jika berjaya, katanya, ia mampu menjana kutipan sehingga RM1 juta sebulan.
Bagaimanapun, setakat ini hanya 10,543 ahli mendaftar, iaitu kurang 2% daripada jumlah keseluruhan keahlian.