‘Diari makanan’ Uncle Joshua tepis kebencian dengan kasih sayang

‘Diari makanan’ Uncle Joshua tepis kebencian dengan kasih sayang

Bagi Joshua Loh makanan jambatan menyatukan bukan dinding memisahkan walaupun berdepan komen negatif di ruang maya.

Joshua Loh menyimpan lebih 10 diari makanan yang menghimpunkan ribuan resipi direkod sejak 1998.
PETALING JAYA:
Setiap kali memuat naik video masakan di media sosial, Joshua Loh sudah bersedia dengan dua perkara – senyuman ikhlas untuk pengikutnya dan ketabahan hati membaca komen yang datang bersama.

Sebahagiannya penuh sokongan namun ada juga komen pedas seperti cili padi – sinis dan mengecam yang boleh meruntuhkan semangat jika tiada kecekalan hati.

Namun, lelaki berusia 47 tahun itu memilih untuk tidak melayan kebencian. Baginya, setiap periuk nasi lemak dimasak, setiap senduk kari ayam, ayam kung pao hingga bak kut teh kambing dihidangkannya adalah tentang kasih sayang.

“Saya selalu ingatkan diri, makanan sepatutnya jadi jambatan yang menyatukan, bukan dinding yang memisahkan.

“Kalau saya ikutkan komen negatif, maksudnya saya biarkan dinding itu terbina,” katanya lebih dikenali sebagai Uncle Joshua dengan lebih 500,000 pengikut di platform media sosial Instagram dan TikTok.

Dari dapur ke hati

Joshua yang berasal dari Muar, Johor, bukan baharu dalam dunia masakan. Sejak kecil dia menimba ilmu daripada ibunya sebelum bekerja di restoran dan hotel tetapi pandemik Covid-19 melanda lima tahun lalu mengubah segalanya.

Restoran tempatnya mencari rezeki terpaksa ditutup lalu dia beralih ke dapur rumah – dan dari situlah lahirnya ‘diari makanan’ di media sosial.

Mulanya, video masakannya dirakam dalam bahasa Mandarin. Lama-kelamaan, dia mula berani menggunakan bahasa Melayu.

“Bahasa kebangsaan adalah milik semua. Bila saya guna bahasa Melayu, lebih ramai rasa dekat dan faham resipi saya,” katanya.

Makanan sebagai bahasa kasih

Antara hidangan dikongsi Joshua ialah asam pedas, keropok lekor, nasi lemak, ayam kung pao, hingga bak kut teh kambing yang diolah dengan bahan halal. Semua itu dilakukan dengan satu niat – supaya semua kaum termasuk Muslim boleh merasa dan berkongsi meja makan.

“Kadang-kadang susah juga nak cari pengganti bahan, tapi saya anggap itu satu cabaran menyeronokkan. Paling penting semua orang boleh sama-sama makan,” katanya.

Melawan negatif dengan resipi positif

Walaupun usaha Joshua mendapat banyak sokongan, masih ada suara sumbang yang merendahkannya selain cuba mempersoal keikhlasannya.

Tetapi, Joshua sudah menetapkan hatinya – dia tidak akan membiarkan kata-kata itu melemahkan semangat.

“Saya masak bukan untuk cari gaduh. Saya masak untuk kongsi kegembiraan. Kalau ada yang tak suka, itu hak mereka. Tapi saya tak mahu biarkan rasa benci merosakkan apa yang indah tentang makanan,” luahnya.

Joshua Loh menghasilkan video masakan dengan niat untuk memperkenalkan pelbagai hidangan daripada pelbagai kaum di Malaysia.

Warisan diari tangan

Bukan sekadar video, Joshua menyimpan lebih 10 buku catatan tangan, menghimpunkan ribuan resipi yang direkod sejak 1998. Baginya, itu bukan sekadar koleksi – ia adalah warisan untuk anak-anaknya dan mungkin juga untuk generasi Malaysia akan datang.

“Saya percaya kita kena terbuka menerima masakan bangsa lain. Sebab suatu hari nanti, semua itu akan jadi ilmu yang boleh kita wariskan. Bukan hanya resipi, tapi juga nilai menghormati dan berkongsi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.