Calon PM: Kenyataan PAS desakan untuk Muhyiddin beri laluan, kata penganalisis

Calon PM: Kenyataan PAS desakan untuk Muhyiddin beri laluan, kata penganalisis

Ia selepas PAS dilaporkan akan memilih calon perdana menteri bawah 70 tahun yang sihat, jika PN berjaya menawan Putrajaya pada PRU16.

Saintis politik Wong Chin Huat berkata Muhyiddin Yassin perlu memberi laluan kepada calon berpotensi seperti Hamzah Zainudin atau pemimpin PAS menjadi calon perdana menteri PN bagi PRU16.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik berpendapat kenyataan PAS akan memilih calon perdana menteri bawah 70 tahun sebagai desakan supaya Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin melepaskan pencalonan bagi jawatan itu.

Saintis politik dari Universiti Sunway, Wong Chin Huat, berkata presiden Bersatu itu perlu memberi laluan kepada calon berpotensi seperti Hamzah Zainudin atau pemimpin PAS.

“Jika Muhyiddin mahu Bersatu mengekalkan calon perdana menteri dalam PN, beliau mungkin perlu menyokong Hamzah.

“Namun, sekiranya beliau bertegas dan PAS menekan mahu calon perdana menteri mereka sendiri seperti Ahmad Samsuri Mokhtar, maka Hamzah juga mungkin terlepas peluang,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, tindakan itu secara tidak langsung akan ‘memaksa’ Bersatu menarik sokongan terhadap Muhyiddin kerana ia sukar mengekalkan banyak kerusi marginalnya.

“PAS adalah parti yang sangat realistik. Sekiranya mereka merasakan calon PM daripada Bersatu boleh membawa kemenangan, ia akan mengawal cita-citanya,” katanya sambil menambah jika PAS merasakan sebaliknya, parti Islam itu akan menonjolkan calonnya.

Semalam, Presiden PAS, Hadi Awang dilaporkan berkata, parti itu akan memilih calon perdana menteri bawah 70 tahun yang sihat, sekiranya PN berjaya menawan Putrajaya pada PRU16.

Tetapi katanya, soal siapa yang akan mengetuai kerajaan jika gabungan itu memenangi pilihan raya akan dibincangkan bersama rakannya dalam PN.

Kenyataan Hadi itu menyusul keputusan Bersatu menamakan Muhyiddin, Ahli Parlimen Pagoh yang kini berusia 78 tahun, sebagai calon perdana menteri ke-11 dari parti itu untuk PRU16.

Majlis Tertinggi PN akan membincangkan isu calon perdana menteri minggu depan.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, pelbagai saranan bersifat ‘perlian’ dibuat dalam Muktamar PAS yang sedang berlangsung menunjukkan rasa tidak puas hati parti itu terhadap ‘kawalan’ Bersatu dan Muhyiddin.

“Mereka melihat tak adil Bersatu mengawal segala-galanya dalam PN, termasuk calon perdana menteri. Sepatutnya ada calon ‘tukar’ dalam PN.”

Katanya, pucuk pimpinan PAS dan Bersatu perlu menyelesaikan perselisihan faham yang timbul supaya keretakan tidak berlaku dalam PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.