Sabah banjir: Anwar lulus RM10 juta untuk bantu mangsa

Sabah banjir: Anwar lulus RM10 juta untuk bantu mangsa

Perdana menteri juga arah jentera kerajaan persekutuan digerakkan segera bagi membantu rakyat terjejas.

Hujan lebat menyebabkan banjir di Penampang dan Beaufort, dengan lebih 400 orang dipindahkan ke pusat perlindungan. (Gambar Facebook Anwar Ibrahim)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta bagi disalurkan terus kepada mangsa banjir di Sabah, melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Dana ini tambahan kepada kira-kira RM11 juta yang disalurkan melalui kerajaan Sabah.

Anwar juga mengarahkan jentera kerajaan persekutuan digerakkan segera bagi membantu rakyat terjejas agar bantuan sampai kepada tanpa gangguan.

“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan, kebajikan dan kelangsungan hidup mangsa banjir dibela sebaiknya dengan tumpuan segera,” katanya di Facebook.

“Kerajaan akan memastikan setiap keluarga yang terkesan untuk segera menerima bantuan. Saya menyeru semua pihak bersatu dan berpadu tenaga serta mengutamakan semangat ihsan demi membantu rakyat seluruhnya.”

Hujan lebat di Sabah menyebabkan banjir di Penampang dan Beaufort, dengan lebih 400 orang dipindahkan ke pusat perlindungan.

Banjir ini juga menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan air akibat penutupan stesen janakuasa dan loji rawatan air.

Hujan lebat berterusan juga mengakibatkan dua kejadian tanah runtuh yang setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya lima nyawa.

Kerajaan Sabah membatalkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri berikutan situasi tersebut, menyatakan keutamaan utama adalah menguruskan krisis, menyelaras usaha pemulihan, dan memastikan operasi menyelamat dapat dijalankan dengan pantas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.