PGA rampas RM1.36 juta beras Siam tahun ini

PGA rampas RM1.36 juta beras Siam tahun ini

Komander Briged Tenggara PGA Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata 329.9 tan ialah beras putih bernilai RM1.3 juta dan selebihnya beras pulut berjumlah RM59,600.

Antara rampasan beras Siam di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang tahun ini. (Gambar Briged Tenggara PGA)
KOTA BHARU:
Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 338.3 tan beras Siam bernilai kira-kira RM1.36 juta dalam 108 kes penyeludupan dikesan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand sejak 1 Jan hingga 12 Sept lalu.

Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata daripada jumlah itu, 329.9 tan merupakan beras putih bernilai RM1.3 juta dan selebihnya beras pulut berjumlah RM59,600.

“Dalam operasi berkenaan, 44 individu ditahan terdiri daripada 41 lelaki dan tiga wanita kerana terbabit cubaan menyeludup beras dari negara jiran.

“Semua kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata, PGA kekal komited mempergiatkan operasi di sempadan bagi membanteras penyeludupan beras yang boleh menjejaskan pasaran tempatan serta kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, PGA juga akan terus menjalankan risikan dan rondaan bersepadu bersama agensi lain bagi memastikan sempadan negara sentiasa terkawal daripada kegiatan penyeludupan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.