Persiapan sambutan Hari Malaysia esok siap hampir 95%, kata menteri

Persiapan sambutan Hari Malaysia esok siap hampir 95%, kata menteri

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ada beberapa perkara mungkin ditambah baik untuk memastikan kelancarannya.

Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan ‘Malaysia Madani: Rakyat Disantuni’ akan berlangsung di PICCA esok, yang turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin lain. (Gambar Bernama)
BUKIT MERTAJAM:
Persiapan sambutan Hari Malaysia 2025 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth esok telah mencapai hampir 95%, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) itu berkata beliau telah menyampaikan beberapa perkara kepada pasukannya untuk diteliti serta ditambah baik ketika raptai penuh malam tadi.

“Saya ada sampaikan beberapa perkara yang saya minta diteliti… mungkin ditambah baik daripada segi mungkin persiapan dalam dewan tetapi daripada segi isi kandungan, atur cara dan jemputan, tidak ada apa-apa masalah serta berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan projek WiFi Institusi Pengajian Tinggi Awam di Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.

Turut hadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Abdul Karim Fakir Ali.

Sambutan Hari Malaysia 2025, yang bertemakan ‘Malaysia Madani: Rakyat Disantuni’ di PICCA esok, bakal menampilkan pelbagai pengisian menarik mulai 9 pagi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ramli Ngah Talib, Timbalan Premier Sarawak Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Abang Johari Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dijadual menghadiri sambutan itu pada sebelah malam.

Ia juga bakal dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air pelbagai kaum termasuk Ratu Rock negara Ella bersama Suki Low, Roshini Balachandran selain artis dari Sabah dan Sarawak iaitu Dabra Sia serta Rezza Shah.

Edisi kali ini diadakan di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi sambutan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.